BUKIT MERTAJAM: Dua beranak nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, wanita berusia 22 tahun melecur di kaki manakala ibunya berumur 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka sempat menyelamatkan diri sebelum api marak.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Syamzul Razman Abd Rahman berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.55 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Perai digerakkan ke lokasi.
“Sebaik pihak bomba tiba, kenderaan itu sedang terbakar dan api marak manakala dua beranak berkenaan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak kami sampai di lokasi kejadian.
“Kami dimaklumkan dua wanita itu berjaya diselamatkan oleh pengguna jalan raya yang lain ketika kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan sebelum secara tiba-tiba berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kenderaan itu hangus hampir 90 peratus dan kebakaran tersebut berjaya dikawal pada 3.08 petang sebelum api dipadam sepenuhnya kira-kira 23 minit kemudian. – BERNAMA