KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa hari ini menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen blok kerajaan bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, bagi memperkasakan peranan golongan mahasiswa.
Memorandum itu diserahkan Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, V. Dhurgesswaran kepada Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, di bangunan Parlimen hari ini.
“Sudah sampai waktunya untuk kita perkenalkan akta baharu, menggantikan AUKU sebagai asas dan kerangka kepada aktivisme mahasiswa yang lebih progresif, adil, seimbang dan lestari selari dengan transformasi di negara kita,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dalam persidangan Parlimen baru-baru ini berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tidak berhasrat memansuhkan AUKU namun terbuka untuk sebarang pindaan terhadap akta itu.
Sesi penyerahan memorandum itu dihadiri Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.
Dalam pada itu, Yii berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak KPT dan akan membawa tuntutan mahasiswa hari ini, untuk mencari satu titik persamaan bagi memperkasakan golongan ini.
Memorandum itu melibatkan wakil mahasiswa dari 12 IPT tempatan antaranya Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (IIUM Student Union), Suara Siswa Universiti Malaya, Suara Siswa Universiti Utara Malaysia, Demokrat UniSZA dan Universiti Tunku Abdul Rahman Student Representative Council (UTAR SRC). – BERNAMA