HomeBeritaJangan beri tauliah semata-mata kerana 'public figure'

Jangan beri tauliah semata-mata kerana ‘public figure’

KUALA LANGAT: Sebarang ceramah oleh seseorang individu yang diadakan di Negeri Selangor tidak boleh bersandarkan kerana ‘public figure’ semata-mata, tetapi perlu mempunyai sijil tauliah penceramah yang diiktiraf pihak berkuasa agensi agama negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua individu yang mengajar tentang agama di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Kita seorang yang beragama perlu menghormati sistem, jika permohonan (untuk mengadakan ceramah dibuat) masih dalam proses kena tunggu sehingga ia selesai.

“Mana boleh hanya sebab jika dia ‘public figure’ dan semua proses itu perlu dipendekkan, kita kena hormat semua pihak dan juga perlu menghormati,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Shahzihan berkata, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Beliau menegaskan, pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menafikan terlibat dalam keputusan JAIS berhubung isu larangan penceramah bebas mengadakan ceramah di surau atau masjid di negeri berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa JAIS termasuk pendaftaran dan pemeriksaan yang dikelolakan oleh Bahagian Pentauliahan agensi itu.

“Ustaz Mohamad Wadi (penceramah bebas) kena tanya Pengarah JAIS, saya tidak pasti sebab program sedemikian di bawah kelolaan JAIS.

“Saya tidak pasti sebab hal-hal ini adalah hal teknikal sebab pendaftaran, pemeriksaan itu semua dikelolakan oleh JAIS Bahagian Pentauliahan dan biasanya mereka ada perinciannya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program #KitaSelangor Penyayang di Banting Waterfront di sini pada Ahad.

Terdahulu, pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub mengumumkan menerusi hantaran akaun itu, bahawa semua ceramah Mohamad Wadi di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Ceramah itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 10 Mac di Masjid Salahuddin Abdul Aziz dan 11 Mac di Padang Astaka Tanjung Karang.

Baru-baru ini, tular di media sosial, baru-baru ini bahawa kuliah maghrib pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dibatalkan disebabkan penceramah itu tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Selang beberapa hari kemudian, seorang bekas pensyarah wanita yang juga bekas calon PAS dikenakan hukuman penjara 12 bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah.

Wanita berkenaan adalah pengasas ajaran ‘Asmaul Husna’, Wan Maseri Wan Mohd.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, kategori tauliah punca lambakan pendakwah ‘cap ayam’, ustaz jadian dalam negara.

Ia susulan pendedahan secara bersiri seorang wanita, Norlina A mengenai bekas suaminya yang juga seorang pendakwah memiliki tauliah JAIS, meragui status sijil tauliah kerana mendakwa tiada kelayakan bidang agama, tidak pernah mengikuti pengajian bidang agama secara formal dan isu pematuhan syarat tauliah, baru-baru ini.

Untuk rekod, pendakwah berkenaan, Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, yang juga bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet.

Turut dilaporkan, Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus, menggesa pihak JAIS memperjelaskan kekeliruan dalam masyarakat yang beranggapan seseorang individu yang mempunyai tauliah, boleh meneruskan ceramah sedangkan tauliah yang ditetapkan pihak JAIS ada beberapa kategori bagi mengelakkan kekeliruan dan penyelewengan tauliah.

Author

Pilihan Editor