KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara memerlukan penelitian dan perbincangan yang menyeluruh serta mendalam termasuk daripada aspek kawalan penggunaan bahan berkenaan kelak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mengambil kira jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat sehingga mencecah ratusan ribu setakat ini.
“Sabar, kita harus teliti betul-betul, kena ingat sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu nak kawal susah… Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini, saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya.
“Bagi orang yang nak cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian atau terus dengan keadaan sekarang,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius yang sukar ditangani berhubung isu penyalahgunaan dadah dalam keadaan sekarang.
Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
Ogos lepas, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja ke Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan selain melihat kerangka undang-undang yang berkaitan dengannya.
Sementara itu, menjawab soalan peserta sama ada terdapat sebarang rancangan untuk memecah monopoli Touch ‘n Go dalam sistem pengangkutan dan jalan raya negara, Anwar berkata perkara tersebut mungkin dipertimbang semula.
“Touch ‘n Go telah beroperasi selama lebih dua dekad, belum ada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dalam sistem ini… saya rasa anda betul, kita perlu mempertimbang semula perkara ini,” katanya.
Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) tersebut dikendalikan oleh selebriti Amelia Henderson dan dihadiri lebih 5,000 anak muda yang berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada pemimpin nombor satu negara itu. – BERNAMA