HomeBeritaKDN rampas 14,249 teks dan bahan bacaan al-Quran 

KDN rampas 14,249 teks dan bahan bacaan al-Quran 

 

SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 14,249 teks dan bahan bacaan al-Quran di sekitar Lembah Klang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, antara sebab rampasan adalah kerana teks dan bahan bacaan al-Quran itu tidak mempunyai kelulusan KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

“Ciri-ciri al-Quran yang dirampas ini antaranya tidak ada cop LPPPQ dan pelekat hologram KDN di kulit luar serta ia ditulis dengan resam selain Uthmani.

“Apabila disemak lagi, maka terdapat sana sini kesilapan huruf, tanda baca, ayat, yang kita khuatiri apabila pengamal membaca akan memberi maksud salah terhadap ayat al-Quran yang diturunkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat LPPPQ di sini hari ini.

Ditanya mengenai aplikasi al-Quran yang mendapat perakuan LPPPQ, beliau berkata setakat ini hanya satu sahaja diperakukan iaitu Smart Quran, dibangunkan secara kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan KDN.

“Aplikasi Smart Quran diperakui bebas daripada kesilapan kerana dah melalui proses semakan dan perakuan oleh LPPPQ, manakala lain-lain aplikasi yang ada sekarang ini belum melalui proses tersebut.

“Kita tak kata (aplikasi) al-Quran lain salah cuma ia tidak melalui proses semakan. Jadi digalakkan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran membangunkan al-Quran secara digital untuk mohon kelulusan bagi memastikan (aplikasi) al-Quran dibangunkan mereka adalah sahih dan tepat,” katanya.

Mengenai hasil mesyuarat hari ini, beliau berkata antara perkara dipersetujui adalah membatalkan satu lesen mencetak al-Quran di Pulau Pinang kerana syarikat tersebut didapati sudah tidak aktif mencetak al-Quran.

Mesyuarat juga meluluskan empat pruf akhir teks al-Quran, menjadikan setakat ini terdapat 916 perakuan pruf akhir teks al-Quran yang telah diluluskan, katanya.

“Pruf ini diperlukan untuk memastikan teks dan bahan al-Quran yang dicetak, diterbit, diimport dan diedar dalam negara ini tidak mengandungi apa-apa kesilapan dan kesalahan dalam menjaga kesucian al-Quran.

“Jumlah al-Quran yang mempunyai perakuan KDN adalah dipercayai mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna di negara ini,” katanya.- BERNAMA

Authors

Pilihan Editor