HomeBeritaKelantan tidak benarkan masjid jadi alat politik

Kelantan tidak benarkan masjid jadi alat politik

KOTA BHARU: Kelantan kekal pendirian tidak membenarkan masjid atau surau sebagai tempat propaganda politik.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Kelantan sudah lama memberi kepercayaan kepada golongan profesional untuk mentadbir masjid bagi mengelakkan rumah ibadah menjadi ‘gelanggang’ politik.

Katanya, hal berkaitan keagamaan perlu diserahkan kepada golongan yang pakar dalam bidang itu.

“Kempen parti politik sudah sekian lama tidak berlaku sejak tahun 1915.

“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang ditubuhkan pada 1915 tidak pernah membenarkan masjid sebagai tempat propaganda politik.

“Politik memang tidak boleh diasingkan daripada Islam tetapi parti politik itu perlu diasingkan dari masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Peringatan 150 Tahun Masjid Muhammadi di sini pada Rabu.

Beliau turut mendedahkan, ada cubaan pihak tertentu untuk menjadikan masjid sebagai lokasi berpolitik tetapi gagal kerana kerajaan negeri sentiasa melakukan pemantauan.

Tambah beliau, MAIK berperanan sebagai institusi yang mengawal dan menjaga keamanan daripada diganggu gugat oleh keadaan yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam masjid.

MEDIA VARIASI, sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan beberapa Raja-Raja di negeri masing-masing sudah sekian lama bertitah melarang para agamawan menggunakan masjid dan surau untuk menyebar ceramah politik.

Raja Kelantan, Selangor, Perlis, Perak, Johor antara kerajaan negeri yang lantang melarang rakyatnya menjadikan masjid atau surau sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan gelanggang politik, saban tahun.

Sebaliknya, mereka sentiasa berpesan agar sebuah institusi ibadah seharusnya kekal sebagai pusat menyebarkan kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.

Author

Pilihan Editor