HomeBeritaKerajaan Perpaduan 100 hari dapat markah 62.8 peratus

Kerajaan Perpaduan 100 hari dapat markah 62.8 peratus

KUALA LUMPUR: Selepas 100 hari mentadbir, Kerajaan Perpaduan memperoleh skor keseluruhan 62.8 peratus hasil bancian awam oleh Fieldwork Intelligence Research Management (FIRM Research).

Kaji selidik itu dijalankan dalam tempoh 10 hari membabitkan 1,220 responden berusia 21 hingga 70 tahun ke atas di seluruh negara.

Majoriti responden menyifatkan 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan berada pada tahap memuaskan tetapi masih jauh daripada tahap kecemerlangan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pegawai Penyelidikan FIRM Research yang mengepalai kajian berkenaan, Prof Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata, kaji selidik itu turut menyentuh isu gagasan Malaysia Madani, kos sara hidup, harga barang dan rasuah serta salah guna kuasa.

Mengikut pecahan peratusan, beliau berkata, 554 responden atau 45.4 peratus yakin, hanya 154 atau 12.6 peratus lagi yakin sepenuhnya terhadap kepemimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Katanya, 302 atau 24.8 peratus responden tidak pasti dengan kepemimpinan Anwar, manakala 125 atau 10.2 peratus yakin ‘sikit-sikit’ dan hanya 85 responden tidak yakin langsung.

“455 responden atau 37.3 peratus yakin Malaysia akan bertambah stabil, maju dan makmur, manakala 598 responden yakin Perdana Menteri mampu mentadbir Kerajaan Perpaduan dengan berkesan.

“Namun rakyat juga menyatakan ketidakyakinan terhadap kerajaan dalam usaha membendung kenaikan kos sara hidup dan mengawal harga barang keperluan. Justeru, kerajaan disaran tampil dengan satu pelan tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan hasil kaji selidik 100 Hari Kerajaan Perpaduan di mana 4 Mac lalu genap 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas beliau dilantik pada 24 November 2022.

Soal selidik itu juga mengumpul cadangan dan pendapat yang orang ramai ingin sampaikan kepada kerajaan yang diterajui Anwar.

Tiga metodologi kajian iaitu temu bual bersemuka, panggilan telefon dan melalui internet membabitkan 310 responden di wilayah utara, tengah (319), selatan (274), timur (155) serta Sabah dan Sarawak (162).

“Kaji selidik itu membabitkan responden Melayu seramai 566 orang, Cina (320), India (191), Bumiputera Sarawak (47), Bumiputera Sabah (48) dan lain-lain (48),” katanya

Dalam pada itu, Baharuddin ketika diminta mengulas mengenai penemuan kajian itu katanya, Kerajaan Perpaduan dilihat belum ada ‘road map’ yang tepat dan hala tuju pentadbiran antara punca ia masih jauh dari tahap kecemerlangan.

“Tanpa hala tuju yang jelas juga menjadi punca pelabur asing masih 50-50 hendak melabur atau tidak kerana bimbang Malaysia belum stabil.

“Kerajaan Perpaduan perlu kurangkan kenyataan yang menyebabkan rakyat marah, stress.

“Contohnya kalau ayam mahal jangan makan ayam, jangan begitu kerana ia menyebabkan rakyat marah.

“Isu makan, isu pekerjaan, isu pendidikan, isu kelangsungan hidup amat sensitif dan wajar dielakkan,” katanya.

Hasil kaji selidik ini dijangka berada di pasaran secara digital dalam dua minggu akan datang.

Author

Pilihan Editor