HomeBeritaKerani rugi RM45,000, terlalu percayakan ‘BF’ di Instagram

Kerani rugi RM45,000, terlalu percayakan ‘BF’ di Instagram

 

CYBERJAYA: Dek kerana terlalu percaya dengan tawaran teman lelaki bahawa akan mendapat imbuhan sekiranya menyertai misi bantuan kemanusiaan, seorang wanita yang juga kerani terpaksa berputih mata akibat mengalami kerugian hampir RM45,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 29 tahun berkenalan dengan suspek berusia 37 melalui aplikasi Instagram sejak Februari lalu.

Menurutnya, suspek telah menawarkan kepada mangsa untuk menyertai program menderma atau memberi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak di luar negara melalui Pertubuhan United Nations Children’s Fund.

“Mangsa tertarik apabila suspek memaklumkan jika aktif bersama pertubuhan tersebut, dia bakal menerima imbuhan daripada bank.

“Tanpa berfikir panjang mangsa mendaftarkan diri ke pautan palsu yang diberikan oleh suspek untuk memudahkan proses menderma kepada pertubuhan yang tidak wujud itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Christopher, selepas mendaftar, mangsa kemudian diminta membuat dua transaksi derma kepada pertubuhan terbabit menerusi dua akaun berbeza.

“Mangsa telah membuat transaksi berjumlah RM45,000 ke dua akaun berbeza pada 25 dan 26 Februari lalu.

“Apabila tidak menerima sebarang imbuhan seperti yang dijanjikan, mangsa yang berasakan dirinya ditipu membuat laporan polis,” maklumnya.

Tegasnya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa African Scam pada kali ini menggunakan modus operandi baharu dengan taktik penipuan menderma.

“Saya menasihati orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang pautan, panggilan atau aplikasi telefon yang diterima daripada pihak dikenali,” katanya.

Author

Pilihan Editor