KUALA LUMPUR: Sempena kempen RamRaya, Sama-Sama Berseri, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) hari ini melancarkan Inisiatif Rahmah Lotus’s bagi menyokong program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah yang bermula hari ini adalah komitmen Lotus’s untuk memanjangkan sokongannya terhadap pertumbuhan mampan Malaysia serta usaha berterusan bagi mewujudkan impak positif kepada golongan memerlukan.
Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, Jualan Rahmah di samping promosi Sama-Sama Berseri RamRaya membolehkan pelanggan menikmati tawaran hebat dan penjimatan sehingga 50 peratus membabitkan 6,000 produk di semua cawangan Lotus’s serta platform onlinenya.
“Kami akan memperkenal lebih banyak program Jualan Rahmah sepanjang tahun ini yang bertepatan dengan acara utama Lotus’s seperti Merdeka, Hari Malaysia dan jualan akhir tahun kami sendiri,” katanya.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub di Lotus’s Selayang di sini hari ini.
Pelanggan boleh menikmati penjimatan daripada 30 peratus untuk produk makanan asas dan barangan sekolah di bawah Pakej Rahmah serta pembelian hidangan Menu Rahmah pada harga RM5 di semua medan selera Lotus’s.
Sementara itu, menerusi program komuniti #KitakanJiran, Lotus’s akan menyumbang sejumlah 1,200 Bakul Rahmah serta menyediakan akses kepada sayur-sayuran dan buah-buahan segar, barangan bakeri dan produk makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak kepada 8,000 individu yang memerlukan di 200 rumah kebajikan sepanjang tahun.
Sehingga Disember tahun lepas, Chuah berkata, Lotus’s Malaysia telah menyumbang lebih 2.42 juta kilogram makanan yang bersamaan dengan 10.4 juta hidangan kepada pelbagai kumpulan B10 dan B40.
Salahuddin pula memuji langkah Lotus’s Malaysia’s mengambil bahagian dalam program kementerian itu bagi membantu golongan memerlukan.
“Kita telah melihat beberapa gerai di Lotus’s dan kita saksikan kualiti makanan yang ada dalam Menu Rahmah adalah berkualiti tinggi, bukan kualiti rendah.
“Ini satu perkara yang saya bangga dengan Lotus’s kerana mereka juga ingin menjaga nama baik mereka dan ia adalah usaha murni yang telah ditunjukkan,” katanya. – BERNAMA