MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengumumkan kira-kira RM15 juta akan diagihkan kepada semua pasukan dalam Liga Super 2023.
Buat pertama kali, MFL memperkenalkan jumlah agihan mengikut merit kepada prestasi pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super 2023.
Pada masa sama, jumlah pengagihan turut meningkat sebanyak 96.55 peratus berbanding kira-kira RM 7 juta yang diagihkan musim lalu.
Dengan peningkatan jumlah agihan ini membolehkan pasukan enam teratas Liga Super 2023 mampu membawa pulang lebih dari RM 1 juta. Manakala, pasukan yang berada di kedudukan tercorot turut mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM 600 ribu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, jumlah ini akan diagihkan di penghujung musim kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing.
Tambahnya, ia tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500 ribu dan RM 250 ribu dan sekali gus menjadikan jumlah agihan tabahan keseluruhan mencecah RM7,700,00.
Pada 15 Februari lalu, sistem agihan pendapatan berdasarkan merit telah dipersembahkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO-CEO kelab Liga Malaysia.
Sistem agihan pendapatan ini dapat dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023 dan hasil pembentangan itu turut mendapat reaksi dan diterima dengan baik cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit yang diperkenalkan pada tahun ini, tambah Stuart.
“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekaligus menerima lebih banyak pendapatan,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.