CYBERJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.
Ketibaan bekas Perdana Menteri itu turut disambut ratusan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mula berkerumun di luar Ibu Pejabat SPRM seawal pukul 9 pagi tadi.
Muhyiddin dipercayai hadir di SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Terdahulu, tular khabar angin mendakwa Muhyiddin telah ditahan SPRM semasa bermain golf pada Rabu.
Bagaimanapun, Muhyiddin membidas kenyataan dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa berita itu adalah palsu.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini (Rabu) yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun, Khamis saya diminta ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya pada Rabu.
Untuk rekod, SPRM sebelum ini dilaporkan membeku beberapa akaun milik parti Bersatu kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.