HomeBeritaNGO wanita disaran sertai APM

NGO wanita disaran sertai APM

BANGI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita digalakkan untuk menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai usaha meningkatkan bantuan bencana dan kerja sukarelawan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu telah diusul pada pimpinan APM.

“Saya dah sebut kepada pimpinan APM untuk ‘engage’ NGO-NGO untuk terlibat dengan APM.

“Satu pendekatan yang baik jika NGO wanita terlibat sebagai penggerak APM, ” katanya pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ke-71 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Terdahulu, APM memperkenalkan Civil Defence Auxiliary (CDA) yang merangkumi 12 kluster pengkhususan sesuai dengan peranan yang boleh dilaksanakan oleh CDA bagi memperkasa fungsi Pertahanan Awam sepertimana yang tertakluk dalam Akta 221.

Antara tiga skop CDA adalah, Skop Latihan (contoh: Latihan Generik/Umum atau Latihan Fungsional); Skop Kepakaran (contoh: IT dan Telekomunikasi, Mekanikal dan Elektrikal, Logistik, Medikal dan Kesihatan, Penyelamatan, Sivil dan Geologikal dan Media); dan Skop Pelbagai (contoh: Pengurusan Kem dan Pusat Perlindungan, WASH, Makanan,
Khidmat Kemanusiaan dan lain-lain).

Pada majlis sama, Nota Persefahaman antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) telah dimeterai bagi kerjasama pemerkasaan kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat komuniti.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan sebuah jaringan perkongsian kepakaran dan kemahiran ke arah memperkasa aspek pengurusan dan tadbir urus dalam menghadapi bencana.

Antara peranan yang akan dimainkan oleh pihak MDDM ialah membantu dalam
pelaksanaan Program Kampung Siaga 221, pelaksanaan program, latihan, kursus dan lain-lain aktiviti bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan awam serta kefungsian pertahanan awam.

Majlis hari ini turut melibatkan Penganugerahan Bintang dan Pingat Pertahanan Awam, Majlis Pemakaian Pangkat, Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat dan Pegawai Bersekutu APM melibatkan seramai 96 orang.

Author

Pilihan Editor