HomeBeritaPelaburan kripto: Rugi RM99 pun mangsa tetap saman Vida

Pelaburan kripto: Rugi RM99 pun mangsa tetap saman Vida

KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada 41 mangsa pelaburan mata wang kripto milik usahawan kosmetik Malaysia, Datuk Seri Vida (DSV) menuntut kerugian RM99 daripada RM59 juta ringgit yang dikemukakan.

Itu adalah tuntutan yang didedahkan oleh peguam, Mohammad Izwan Azmi dari firma Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates mewakili mangsa, pada sidang media, di sini, hari ini.

Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman dipercayai memiliki perniagaan pelaburan mata wang kripto iaitu Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub and LUX Galaxies).

Mohammad Izwan berkata, pihaknya hari ini terpaksa mengadakan sidang media kerana sudah pelbagai cara untuk mendapatkan hak anak guamnya semula, sejak lima tahun lalu namun pihak DSV berdiam sehingga kini.

“Plaintif sudah kemukakan saman, serahan dibuat di pejabatnya, pada 15 Februari 2022, mahkamah tinggi perintah untuk iklankan dalam akhbar, telah pun dibuat pada 10 Feb lalu, sehingga sekarang kini.

Malah katanya, tarikh yang ditetapkan mahkamah sebanyak tujuh kali, juga gagal dihadiri oleh pihak DSV.

“Ada antara anak guam daripada 41 orang ini, melabur serendah RM99, pun tidak dipulangkan.

“Saya tanya, nak juga ke? Mereka kata mereka mahukan keadilan, mahu DSV mematuhi undang-undang kerana bila Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) keluarkan senarai bahawa pelaburan DSV dalam ‘customer alert list’, mereka terkejut, hampir enam tahun mereka tuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media tuntutan pelaburan Lavida Coin bersama seorang lagi peguam dari firma sama, Mazniza Mohd Kamil dan mangsa.

Dokumen tuntutan dikemukakan bersama writ saman yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas DSV dan tiga rakannya yang menjalankan Lavida Coin sejak 2018.

Menurut representasi oleh pihak defendan iaitu DSV dan lain-lain, mengatakan pada 2018 bahawa Lavida Coin adalah sah dari segi undang-undang, ada kelulusan dari SC, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) lain-lain agensi.

“Namun menariknya, pada 29 Ogos 2019 SC mengumumkan Lavida Coin dimasukkan ke senarai amaran pelanggan agar tidak membuat pelaburan.

“Sehubungan itu, jika DSV gagal membuat bayaran kemungkinan tindakan akan diteruskan di mana beliau berhadapan dengan bangkrap, rumah dan harta disita,” katanya.

Author

Pilihan Editor