HomeBeritaPengamal media kecewa layanan buruk LHDN - Kelab Media Putrajaya

Pengamal media kecewa layanan buruk LHDN – Kelab Media Putrajaya

CYBERJAYA: Penganjuran Sambutan Hari Hasil ke-27 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mengecewakan para pengamal media.

Menurut kenyataan Kelab Media Putrajaya, para pengamal media kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak penganjur terhadap kira-kira 20 pengamal media dari pelbagai agensi yang hadir membuat liputan.

“Untuk makluman, jemputan kepada program ini adalah terbuka kepada semua agensi media yang dikeluarkan pada 2 Mac dan bukan acara tertutup yang mana petugas media hadir tanpa kebenaran.

“Pertama, pengamal media pada awalnya tidak dibenarkan memasuki dewan
majlis oleh urusetia kecuali pada acara penyampaian anugerah iaitu selepas ucapan perasmian Perdana Menteri.

“Sedangkan yang utama bagi pengamal media adalah melaporkan dan menyalurkan intipati ucapan Perdana Menteri kepada masyarakat,” kata kenyataan media itu.

Bagaimanapun, setelah berbincang dan memberi penjelasan kepada urusetia barulah dibenarkan masuk.

Sekiranya pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan ucapan Perdana Menteri sekalipun, sepatutnya pihak penganjur memaklumkan perkara berkenaan di dalam jemputan media supaya tidak berlaku kekeliruan.

“Kedua, kedudukan petugas media yang diletakkan di belakang dewan dan tidak disediakan meja khas kepada petugas media.

“Malah difahamkan, urusetia majlis memaklumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersetuju dengan susun atur tersebut.

“Namun hasil semakan dengan PMO mendapati PMO turut tidak dimaklumkan mengenai persetujuan tersebut.

“Kami bukanlah mahu dilayan seperti orang kenamaan tetapi hanya mahu tugas kami dipermudahkan dalam menyampaikan maklumat kepada semua.

“Sehubungan itu, Kelab Media Putrajaya memohon penjelasan daripada pihak penganjur mengenai insiden ini dan berharap perkara serupa tidak berulang pada masa hadapan.

“Pada masa sama, ingin Kelab Media Putrajaya nyatakan di sini, insiden sedemikian bukanlah pertama kali berlaku di organisasi dan majlis mahupun program lain apabila kehadiran pemberita yang atas jemputan dilihat seperti ‘menyusahkan’ kepada penganjur atau tuan rumah.

“Justeru, Kelab Media Putrajaya berharap perkara sebegini tidak berterusan serta menjadi
pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor