HomeSukanShin Tae-yong tak galakkan skuad Garuda berpuasa

Shin Tae-yong tak galakkan skuad Garuda berpuasa

 

JAKARTA: Ketua Jurulatih ­Indonesia, Shin Tae-yong tidak menggalakkan pemain bola sepak negara itu ber­puasa menjelang dua perlawanan persahabatan menentang ­Burundi pada Sabtu dan Selasa depan.

Jurulatih dari Korea Selatan itu menyarankan sedemikian kerana mahu pemain mengekalkan tahap kecergasan sepanjang jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, Tae-yonh juga akan mengadakan pertemuan dengan pe­mimpin agama serta pemain bagi membincangkan perkara terbabit.

“Puasa memang agak sukar buat saya kerana pemain perlu makan pada waktu tertentu bagi mengekalkan kecergasan mereka.

“Jika tidak makan dan harus lari dan beraksi, maka itu situasi yang amat menyukarkan pemain.

“Saya harus berbincang dahulu dengan pemimpin agama dan pemain mengenai perkara ini supaya mereka boleh memberi sepenuh fokus terhadap dua perlawanan yang akan dihadapi.

“Mungkin ada hari yang pemain tidak perlu berpuasa dan mereka masih boleh mengganti puasa yang ditinggal selepas bulan Ramadan.

“Kita akan membicarakan perkara ini dengan lebih ­lanjut dalam pertemuan itu nanti,” katanya seperti dilapor portal bola.net.

Menjelang perlawanan menentang Burundi, Shin Tae-yong mengakui beliau tidak begitu arif dengan pasukan lawan tetapi beliau mahu pemain Indonesia untuk memberikan prestasi terbaik sebagai langkah untuk meraih mata dan memperbaiki ranking.

“Jujur saya katakan, saya tidak tahu mengenai pasukan lawan, sama ada dari segi pemain atau taktikal. Saya minta untuk berdepan dengan pasukan yang menduduki ranking 80 hingga 100. Tetapi keadaan tidak mengizinkan. Jadi kita terpaksa terima lawan kita Burundi.

Untuk rekod, Burundi ketika ini menduduki tangga ke-141 dalam rangking FIFA, hanya dibezakan dengan 10 ranking berbanding Indonesia.

Author

Pilihan Editor