HomeMV+BongkarSuspek pemalsuan dokumen MAIS, PPIM miliki rekod lampau menipu

Suspek pemalsuan dokumen MAIS, PPIM miliki rekod lampau menipu

DANG WANGI: MEDIA VARIASI sebelum ini mendedahkan modus operandi aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang memalsukan dokumen pesanan pembelian atau ‘purchase order’ (PO).

Suspek menggunakan kepala surat dengan logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga menyebabkan Penasihat PPIM, Datin Che Roslina Othman rugi RM660,000.

MAIS pada 17 Februari lalu mengesahkan dokumen berkenaan palsu dan membuat laporan polis, susulan itu pengadu iaitu penasihat PPIM berkenaan turut membuat satu laporan polis mengenainya.

Sumber memaklumkan suspek berkenaan memiliki rekod lampau iaitu antara tahun 2010 hingga 2013 membabitkan mangsa berbangsa Cina dan dua Melayu bernilai RM3.2 juta.

“Suspek pernah dituduh di mahkamah namun kesnya selesai di luar mahkamah.

“Bagaimanapun suspek dipercayai mengulang semula perbuatannya, modus operandi sama dan kali ini mangsa membabitkan Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Malah meniru tanda tangan tiga pegawai MAIS yang masih bertugas,” kata sumber.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi MEDIA VARIASI mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas kes itu.

“Ye ada terima laporan pengadu dan kes disiasat di Dang Wangi,” katanya.

Dokumen menggunakan kepala surat MAIS dan alamat PPIM untuk menipu usahawan sehingga RM660,000

Terdahulu, usahawan itu secara menipu dipercayai berani melakukannya bagi tujuan mendapatkan dana projek bantuan bakul makanan (Food Bank) dipercayai tidak wujud.

Sasarannya adalah pihak berkepentingan yang juga mempunyai hubungan baik dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Che Roslina Othman mendedahkan, individu itu sengaja menggunakan kepala surat rasmi MAIS agar ia nampak lebih meyakinkan.

“Usahawan ini mulanya datang ke PPIM kononnya nak minta bantuan buka syarikat sebab dah disenarai hitam, tetapi mahu buka akaun melibatkan PPIM sebagai ‘distributor’ dan gunakan alamat pejabat PPIM sebagai urusan rasminya.

“Yang anehnya, dia beri dokumen dengan kepala surat rasmi MAIS tetapi hanya ditunjukkan melalui Whatsapp kepada saya.

“Lagi pelik, invois PO untuk projek bakul makanan yang diminta berjumlah RM660,000 dalam tempoh 14 hari.

“Sepatutnya selepas tempoh 40 hari MAIS akan membayar semula, apabila kita semak sendiri dengan MAIS, pihak berkenaan sahkan tidak terlibat, logo MAIS pada dokumen juga berlainan,” dedahnya kepada MEDIA VARIASI.

 

Author

Pilihan Editor