HomeBeritaMahkamah & JenayahPelakon, tiga rakan didakwa edar dadah

Pelakon, tiga rakan didakwa edar dadah

 

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon dan tiga rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 10 Januari lepas atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di sebuah kedai vape.

Pertuduhan ke atas pelakon drama ‘Hati Tanpa Rasa’, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29; Sarvinder Singh Hernam Singh, 23; Delson Dean Samson Akmal, 26; dan Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30, dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Said Muhammad Ismail yang juga pemilik kedai vape, dua pekerja kedai itu, Delson Dean dan Sarvinder Singh serta penjual burger, Muhammad Amir Hafiz kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar kanabis anggaran berat 494 gram, di sebuah kedai vape di Taman OUG Parklane, Off Jalan Klang Lama di sini, pada 9.45 malam, 3 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada sembilan sebatan dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pada sebutan kes di hadapan majistret sama hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan memohon tarikh sebutan baharu berikutan laporan kimia berhubung kes itu belum diterima dan mahkamah menetapkan 31 Mac untuk sebutan kes.

Prosiding itu dihadiri peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Said Muhammad Ismail, Delson Dean dan Muhammad Amir Hafiz manakala Sarvinder Singh diwakili peguam Shastidaran Sathaiseelan.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki ditahan kerana dipercayai menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ dalam serbuan di sebuah premis, pada 3 Januari lepas. -BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor