HomeBeritaTauliah Mengajar diwajibkan di Wilayah Persekutuan

Tauliah Mengajar diwajibkan di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Aspek Tauliah Mengajar kini menjadi keutamaan setiap pihak berkuasa agama negeri kepada penceramah walaupun bergelar ‘public figure’, jika ingin menyampaikan kuliah di masjid dan surau di sekitar negeri berkenaan.

Terbaharu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail meminta pihak pengurusan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan memastikan penceramah mempunyai Tauliah Mengajar diiktiraf Jawi jika ingin mengadakan kuliah di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Tegasnya, semua masjid dan surau diminta mematuhi ketetapan mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

Tambahnya, masjid dan surau juga perlu merujuk Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 serta pekeling semasa yang ditetapkan.

“Langkah itu bagi memastikan institusi berkenaan ditadbir secara efisien dan profesional khususnya melibatkan program pengimarahan dan pengajian agama.

“Masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah memastikan semua penceramah mempunyai Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan serta kekal sebagai zon aman dan bebas dari sebarang pengaruh dan unsur politik kepartian,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengurusan masjid dan surau juga boleh berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa jika berlaku sebarang perlanggaran terhadap ketetapan itu.

“Masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan.

“Masjid tidak seharusnya menjadi punca kepada kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan beberapa Raja-Raja di negeri masing-masing juga sudah sekian lama bertitah melarang para agamawan menggunakan masjid dan surau sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, mengelirukan masyarakat Islam, bertelingkah selain gelanggang politik.

Sebaliknya, mereka sentiasa berpesan agar sebuah institusi ibadah seharusnya kekal sebagai pusat menyebarkan kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.

Pentadbir laman Facebook penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub dan Ustaz Azhar Idrus sebelum ini mengumumkan bahawa semua ceramah masing-masing di Selangor dibatalkan manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diteruskan.

Ia berikutan penceramah berkenaan tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan status ceramah mereka di Wilayah Persekutuan selepas JAWI mengumumkan kenyataan terkini itu.

Author

Pilihan Editor