HomeBeritaMahkamah & JenayahTiga lelaki ditahan, kes gaduh ambil lauk guna jari di restoran

Tiga lelaki ditahan, kes gaduh ambil lauk guna jari di restoran

CYBERJAYA: Tindakan tiga lelaki yang memukul pekerja restoran kerana ‘naik angin’ selepas ditegur mengambil lauk dengan jari akhirnya menjerat diri ditahan polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pengurus sebuah restoran mengenai kejadian itu.

Hasil laporan itu, pihaknya menahan tiga suspek yang berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek telah ke restoran berkenaan dan ketika berada di bahagian nasi kandar, salah seorang suspek telah menggunakan jarinya untuk mengambil lauk dalam keadaan mabuk.

“Teguran itu telah membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek.

“Pengadu yang juga pengurus restoran pula mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan kedai dirosakkan termasuk pinggan selain banyak lauk tercemar dan terpaksa dibuang.

“Siasatan juga mendapati dua daripada suspek yang masing-masing bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah juga dadah,” katanya.
Maklumnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan insiden dua lelaki dirakam memukul pekerja di sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekecohan dan kerosakan barangan di premis terbabit.

Author

Pilihan Editor