HomeBeritaTilmiz Fahmi dinobat juara Akademi Qurra’ 2023

Tilmiz Fahmi dinobat juara Akademi Qurra’ 2023

KUALA LUMPUR: Aktivis yang juga pelajar, Tilmiz Fahmi dinobatkan sebagai juara program realiti, Akademi Qurra’ 2023 musim pertama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 berserta trofi dan sijil, malam tadi.

Fahmi atau nama sebenarnya, Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, sekali gus mengenepikan tiga pesaing hebat lain iaitu Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud, Muhammad Akasyah Md Yunos, Tilmizah Dr Noraini Abdullah dan Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki, dalam pentas akhir yang bertemakan Al-Quran- Kalimah Cinta Agung, minggu ini yang disiarkan secara langsung di TV AlHijrah.

Naib juara, disandang Tilmizah Dr Nooraini, 40, dan tempat ketiga oleh, Nik Maghfirah, 19, masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Tilmiz Muhammad Nur Zuhdi, 25, dan Muhammad Akasyah, 18, masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima.

Fahmi yang juga anak jati Negeri Sembilan itu ketika ditemui, memanjatkan kesyukuran di atas kejayaannya yang direstui keluarga dan rakan, tetapi juga pihak produksi dan penyokong yang menonton program berkenaan sepanjang berlangsung.

Dia turut berterima kasih kepada pihak produksi program kerana menjaga peserta dalam aspek kesihatan dan keselesaan dengan baik, sehingga boleh menyampaikan ilmu yang ada dengan suara dan badan yang sihat.

“Pengalaman berharga yang saya dapat daripada program ini, adalah mencari ilmu itu takkan berhenti.

“Bayangkan, hari pertama program, kebanyakan peserta tidak kukuh ilmu tajwid, taranumnya. Kini, dalam skala kecil, jurukamera program pun boleh kenal tarannum, jadi kita nampak perubahan percambahan ilmu itu di mana-mana,” katanya yang sudah dididik ke kelas mengaji dan taranum seawal usia enam tahun.

Sebagai aktivis NGO juga, dia juga merancang untuk menggunakan wang kemenangan itu untuk menganjurkan aktiviti sepanjang Ramadan, selain mahu berkolaborasi dengan NGO luar negara

Terdahulu, peserta diadili sepenuhnya oleh juri tetap, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Hadir menyokong program, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Untuk rekod, Pentas Akademi Qurra’ dihoskan oleh pengacara Ustaz Mohd Fakhrul Radhi yang juga anggota kumpulan nasyid, UNIC sepanjang lapan minggu bersiaran bermula, pada 28 Januari 2023 lalu.

Penerbit Eksekutif program realiti itu oleh Saifulizzam Mohd Lizah dan mentor akademi, Mudarris, Ustaz Ammar Mukhlis dan Mudarissah Ustazah Farhatul Fairuzah serta Ustazah Soufizah Mousin.

Program ini bermatlamat melahirkan generasi Qurani yang menjadi pelapis kepada asatizah bidang al-Quran.

Seramai 12 peserta terbabit bersiaran untuk mendalami ilmu al-Quran, yang penuh warnai warna, namun hanya seorang peserta yang benar-benar memahami intipati al-Quran akan diumumkan sebagai pemenang.

Pada peringkat separuh akhir, Tilmizah Maghfirah menerima Anugerah Alunan Terindah.

Sementara itu, Namanzee berkata, beliau menjangka program Akademi Qurra’ bakal mencatat sejarah paling berjaya TV AlHijrah pernah terbitkan.

Katanya, secara keseluruhan gabungan digital, siaran langsung dan siaran ulangan mengumpulkan ‘rating’ 4.4 juta penonton program Akademi Qurra’, kali ini.

“Itu tidak termasuk peringkat akhir. Faktor lonjakan ini saya nampak audiens mencintai ayat al-Quran, perjalanan peserta dalam program selain audiens peringkat umur pelbagai terutama generasi muda berdasarkan umur peserta,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor