HomeBerita20 tahun masih menunggu tanah untuk asrama anak yatim Lipis

20 tahun masih menunggu tanah untuk asrama anak yatim Lipis

KUALA LUMPUR: Penantian satu penyeksaan, lebih seksa apabila menanti kelulusan tanah untuk membangunkan sebuah asrama anak yatim yang mengambil masa 20 tahun.

Pengasas Persatuan Pendidikan dan Usahawan Anak Yatim Kuala Lipis, Datuk Ruzi@Nata Yusoh berkata, usaha beliau untuk mendapat kelulusan bekas tapak Sekolah Rakyat era sebelum kemerdekaan dahulu di Kampung Pagar Sasak, Lipis, Pahang bagi penempatan anak yatim masih belum ada sinar.

Katanya, permohonan untuk kelulusan tanah telah dibuat pada tahun 2002 bagaimanapun ada campur tangan politik sehingga menyebabkan sehingga ke hari ini belum diluluskan.

“Sejak menguruskan anak yatim 20 tahun lalu, setiap urusan kami untuk mereka lancar dan mudah, melainkan penempatan sahaja.

“Justeru, persatuan kami sangat berharap ada tanah untuk penempatan anak yatim, supaya urusan pentadbiran, dan aktiviti untuk mereka dilaksanakan dan tersusun.

“Buat masa ini, kami terpaksa menganjurkan program yang menyebabkan kos agak tinggi sebab mereka tinggal dengan ibu atau penjaga masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada program Berbuka Puasa bersama 20 anak yatim Persatuan Pendidikan dan Usahawan Anak Yatim Lipis, di Hotel Adamson, di sini.

Kesemua anak yatim dibawa dari Lipis ke hotel berkenaan, bagi memberi peluang kepada mereka merasai suasana berbuka puasa di hotel di ibu negara, selain menggembirakan mereka.

Tambah Ruzi, Kampung Pagar Sasar adalah kawasan yang mundur dan kebanyakannya bekerja kampung atau penoreh getah.

“Sehubungan itu, harapan kami adalah untuk membantu anak-anak yatim, yatim piatu dan asnaf ini dari zero to hero agar mereka dapat menyumbang balik dan menaik taraf hidup mereka.

“Saya juga mengalu-alukan badan korporat untuk lebih ramai tampil membantu anak-anak ini mendapat ‘pukat’ agar hasil yang mereka perolehi nanti lebih banyak berbanding beri pancing sahaja,” katanya.

Author

Pilihan Editor