HomeBeritaApa itu 'Smartlane'?

Apa itu ‘Smartlane’?

CYBERJAYA: Sempena cuti perayaan Aidilfitri, kebanyakan lebuh raya utama menjadi sesak akibat peningkatan kenderaan di jalan raya.

Mungkin, ada di antara kita yang pelik apabila melihat sebilangan kenderaan dengan ‘selamba’ menggunakan laluan kecemasan pada waktu sesak.

Namun, anda harus ketahui bahawa laluan yang digunakan segelintir pemandu itu kemungkinan berada dalam kategori ‘Smartlane’.

Untuk pengetahuan umum, Plus Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengaktifkan pembukaan laluan ‘Smartlane’ bagi  mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang teruk.

Menerusi hantaran di Facebook PLUS memaklumkan, pembukaan ‘Smartlane’ itu meliputi persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0.

Laluan berkenaan boleh dilalui pada pukul 8 pagi hingga 6 petang bermula 19 April 2023 sehingga 1 Mei 2023.

“Pengaktifan ‘Smartlane’ juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia dan petugas Lebuhraya PLUS di lokasi.

“Sila patuhi papan tanda trafik dan arahan petugas kami ketika melalui lokasi tersebut.

“Pandu cermat dan terima kasih atas kerjasama anda. Muat turun Aplikasi PLUS untuk maklumat terkini di Lebuhraya PLUS,” maklumnya.

Untuk rekod, Smartlane adalah pengaktifan lorong paling kiri di lebuhraya PLUS di beberapa laluan kritikal di lebuh raya.

Inisiatif tersebut juga bertujuan untuk menambah kapasiti lorong di lebuh raya terutama di laluan-laluan terbabit dan dilaksanakan bagi menyuraikan aliran trafik untuk mengurangkan kesesakan.

Author

Pilihan Editor