KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menempah slot suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menewaskan beregu China Chen Xing-Cheng Fang Hui, hari ini.
Beregu ranking kelapan dunia itu hampir dikejutkan dengan penguasaan gandingan ke-51 dunia selepas tewas set pertama 12-21 sebelum bangkit mencatat kemenangan 22-20 dan 21-15 dalam pertarungan 56 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr di Dubai.
Kemaraan beregu negara itu sekali gus berhasil menebus kekecewaan masing-masing yang terkandas seawal pusingan kedua pada kejohanan BAC di Manila, tahun lepas.
Soon Huat-Shevon yang juga pilihan kelapan kejohanan akan bertemu gandingan ke-14 dunia dari Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Bagaimanapun, hasrat beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara ke saingan suku akhir tidak kesampaian selepas tewas di tangan bekas Juara All England dari Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dalam pertembungan berlarutan ke set penentuan.
Tang Jie-Ee Wei tewas set pertama 21-23 sebelum bangkit memberikan tentangan untuk menang set kedua 21-18 namun gagal menyaingi kemaraan lawan apabila tewas set terakhir 15-21.
Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri daripada meneruskan saingan selepas ketinggalan 3-11 di set kedua ketika bertemu beregu Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Keputusan dibuat selepas Kai Wun mengalami kecederaan buku lali.
Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking ke-28 dunia terdahulu tewas set pertama 14-21 di tangan gandingan ranking keempat dunia itu. – BERNAMA
TAG: badminton, BAC, Dubai, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu campuran, beregu lelaki
AFIFF SS3 MK