HomeBeritaBacaan kompas tersasar, aplikasi kiblat dalam talian tak boleh jadi panduan utama

Bacaan kompas tersasar, aplikasi kiblat dalam talian tak boleh jadi panduan utama

CYBERJAYA: Kompas dan aplikasi kiblat dalam talian tidak boleh dijadikan sebagai panduan utama dalam menetapkan arah kiblat, sebaliknya dicadangkan untuk digunakan ketika tempoh bermusafir atau berada di lokasi yang tidak terdapat petunjuk arah.

Perkara itu susulan aplikasi kiblat dalam talian didapati mempunyai kelemahan, walaupun ramai menyangka ia mampu memberikan petunjuk yang tepat.

Aplikasi berkenaan dilihat boleh dipengaruhi keadaan persekitaran, khususnya ketika berada di lokasi yang mempunyai besi dan logam, sekali gus boleh berlakunya sedikit ketidaktepatan arah kiblat.

Setiausaha Agung PAFNS, Abdul Latip Ibrahim berkata, masyarakat terdahulu mengguna kompas kerana banyak kediaman dan bangunan diperbuat daripada kayu atau papan, sekali gus tahap pesongan arah yang tidak ketara.

Bagaimanapun katanya, hari ini, bahan pembinaan bangunan terdiri daripada simen serta besi dan menyebabkan tetap berlaku sedikit ketidaktepatan arah kiblat.

“Secara umumnya, semua aplikasi yang menggunakan kaedah kompas yang mungkin memberi bacaan betul dan kemungkinan memberikan bacaan yang salah, bergantung kepada faktor besi di persekitarannya.

“Oleh yang demikian, penggunaan aplikasi ini sebagai panduan kasar mungkin boleh ketika bermusafir dan berada di mana-mana tempat yang tiada petunjuk arah kiblat, tetapi bagi menentukan arah yang tepat di tempat yang kekal seperti rumah, hendaklah memanggil pakar yang bertauliah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah Abdul Latip, perbuatan membandingkan arah kiblat yang tepat dengan menggunakan aplikasi juga adalah diragui kerana tidak semua aplikasi yang ada di telefon bimbit tepat.

“Kadang-kala ada pihak menyemak sendiri atau membandingkan kiblat surau dengan aplikasi kiblat, walhal menggunakan aplikasi itu juga ia mungkin tidak tepat.

“Maka, dengan penentuan kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri, situasi ini dapat menyelesaikan keraguan masyarakat,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ada aplikasi yang benar-benar tepat kerana ia berpandukan kaedah penentuan matahari, namun ia perlu dipelajari dan tidak sewenang-wenangnya digunakan begitu sahaja.

“Selagi aplikasi menggunakan kompas sebagai asasnya, ia terdedah dengan ralat atau pun pesongan, tetapi ada aplikasi yang berpandukan matahari, tetapi ia perlulah dipelajari terlebih dahulu sebelum menggunanya,” ujarnya.

Tegasnya, penentuan kiblat amat penting kerana ia mempunyai kaitan dengan ibadat solat, kerana antara syarat sah ialah yakin mengadap kiblat.

“Jika kita bimbang sekiranya peta dalam talian menunjukkan arah yang salah ketika menuju destinasi tertentu, kerana kita tidak bimbang apabila arah kiblat, yang sepatutnya menghadap ke Kaabah, tersasar daripada arah yang sebenar.

“PAFNS menggesa masyarakat prihatin arah kiblat masing-masing dengan menghadiri kursus falak yang dianjurkan pihak berkuasa atau mendapatkan khidmat Juruukur Falak Syarie yang bertauliah bagi menentukan ketepatan arah kiblat di kediaman masing-masing,” katanya.

Author

Pilihan Editor