HomeBeritaDatuk gelandangan bantu gelandangan jadi usahawan

Datuk gelandangan bantu gelandangan jadi usahawan

KUALA LUMPUR: Atas sifat keprihatinan dan tanggungjawab yang tinggi, seorang individu bergelar Datuk tampil menyantuni ribuan gelandangan sekitar Jalan Chow Kit, di sini, sejak sembilan tahun lalu.

Menariknya, beliau sendiri sebenarnya pernah berada di tempat mereka.

Pengalaman lalu memberi pengajaran besar dan bermakna buat beliau untuk membantu golongan itu keluar daripada masalah hidup dan kemiskinan.

Beliau adalah Datuk Norhisham Nasrom yang kini mampu menerajui sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebagai Presiden Pertubuhan Penyatuan Malaysia (PKPM) selepas diselamatkan satu ketika dahulu.

Katanya, usahanya ketika ini untuk merekrut gelandangan menjadi usahawan tanpa modal dengan kerjasama kerajaan, namun hanya memerlukan minat dan tekad daripada mereka.

“Lokasi, modal saya akan bantu sediakan. Saya cuma mahu minat dan kemahuan mereka untuk berubah sahaja.

“Sebab saya dulu gelandangan, tiada siapa tolong saya sehingga lah ada satu hari, ada yang membantu. Hari ini, saya sudah ada cawangan perniagaan produk tradisional minyak bidara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Makanan Berbuka Puasa kepada Gelandangan sekitar ibu negara, di sini.

Program berkenaan adalah kerjasama membabitkan PKPM Pusat, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Katanya, PKPM adalah NGO yang baharu sahaja ditubuhkan pada November 2022, namun sudah berkhidmat dalam bidang berkenaan sejak sembilan tahun lalu.

“Ini tekad saya, apabila saya diselamatkan, saya juga ingin menyelamatkan orang lain, ingin bantu ubah hidup orang lain.

“Sebab saya nampak, ramai orang tak diberi peluang untuk keluar dari kemiskinan, dan kerana itu juga, sekali gus tak dapat membantu menyumbang kepada orang lain juga,” katanya.

Author

Pilihan Editor