CHERAS: Lebih ramai lagi ‘hero’ rakyat diperlukan dalam negara bagi menyampaikan segala bentuk sumbangan dan bantuan kepada mereka yang hanya berdaya menitipkan doa untuk mendapatkan sedikit keprihatinan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya kini lebih bersedia malah bersemangat untuk bergerak proaktif dalam mengenal pasti penerima bantuan dan kaedah pemberian yang lebih jelas.
Justeru katanya, lebih ramai ‘hero’ atau adiwira dalam masyarakat diperlukan bukan sekadar memberi zakat, tetapi sedekah, infak, bantuan sama ada daripada individu atau syarikat.
“Kita perlukan hero lebih ramai lagi dalam masyarakat untuk membantu mereka yang sentiasa berdoa, berharap ada sediakan bantuan yang disampaikan dalam mengurangkan kemiskinan, kekurangan dan kesempitan.
“Kita juga ambil maklum, tidak semua asnaf mahu dan mampu jadi usahawan untuk dibantu, hanya orang terpilih sahaja (mampu),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Kembara Ramadan MAIWP dan Penyerahan Sumbangan dan Bantuan kepada Warga Asnaf Wilayah Persekutuan di Dataran Projek Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak, di sini.
Pada program itu, pihak berkenaan menyampaikan sumbangan baju Melayu dan Baju Kurung Raya Prihatin, Sumbangan Tunai Prihatin dan Penyerahan Hamper Raya kepada lebih 500 orang membabitkan anak yatim, pelajar tahfiz, ibu tunggal, OKU, warga emas dan golongan asnaf penduduk.
Program berkenaan sekali gus menutup tirai Kembara Ramadan MAIWP, yang mendapat kerjasama dengan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Pertubuhan Harapan Indah Ampang Selangor (Perhias).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin yang juga Penasihat Program Kembara Ramadan MAIWP 2023, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali; dan Pengerusi Persatuan Penduduk
Perumahan Awam Seri Kota, Norimah Mohamad.
Sementara itu, Mohd Daud berkata, pihak MAIWP sudah memperuntukkan RM77 juta bagi tujuan sumbangan kepada golongan bersasar bagi Ramadan dan Syawal tahun ini.
“Diharap, peruntukan itu dapat memberi kesan kepada insan luar biasa di luar sana.
“Kita juga bersedia untuk tahun depan, dengan suntikan semangat lebih aktif, berani, bijak dalam mengenalpasti kategori penerima, cara dan bentuk pemberian kepada mereka selepas ini berdasarkan pengalaman yang kita telah lalui,” katanya.
Sementara itu, Mohd Aizuddin berkata, Ramadan sewajarnya menjadi pemangkin semangat kepada setiap agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kebajikan dalam menyahut seruan kerajaan bersama sebagai memupuk semangat Malaysia Madani dengan menyantuni semua golongan yang kurang bernasib baik.
“Warga yang memerlukan perlu diberi perhatian dan disantuni kerana mereka juga turut samaperlu meraikan Aidilfitri yang bakal tiba.
“Program yang dilaksanakan bersama MAIWP dan Perhias ini dapat menzahirkan keprihatinan dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat sekaligus mengurangkan beban serta berbakti kepada warga asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya.