HomeGlobalMasjid mesra kanak-kanak dapat sambutan di Turkiye

Masjid mesra kanak-kanak dapat sambutan di Turkiye

ANKARA: Kehadiran kanak-kanak ke masjid di Turkiye semakin menggalakan dan disambut baik.

Banyak masjid dahulu menyediakan tempat berjemaah yang sempit dan terpencil untuk wanita dan tiada tempat khusus untuk kanak-kanak.

Mungkin dahulu rata-rata masjid di negara tersebut lebih mengutamakan kehadiran kaum lelaki kerana kebanyakan masjid mempunyai ruangan yang terhad dan terletak di kawasan yang terpencil, lapor Astro Awani.

Bagaimanapun, generasi muda berpendapat bahawa masjid sepatutnya boleh diakses secara sama rata oleh semua.

Justeru, di Turkiye kini selepas solat Tarawih, kanak-kanak dijemput bermain dengan Imam bagi menanam rasa selesa mereka untuk berkunjung ke masjid.

Malah, di beberapa masjid baharu, taman permainan diwujudkan di masjid.

Jika masjid tidak mempunyai tempat bermain di dalam, ia disediakan di luar masjid.

Satu ruang khas turut disediakan, di mana kanak-kanak bebas melakukan apa sahaja aktiviti di dalam masjid tanpa membahayakan atau dianggap menceroboh.

Perkara itu penting bagi mewujudkan rasa bahawa masjid adalah milik mereka dan dianggap seperti rumah, memberikan rasa sayang kepada masjid.

Sebagai contoh, keluarga yang mengunjungi Masjid Ahmet Akseki untuk solat Tarawih kini boleh membiarkan anak-anak mereka bermain di taman permainan dan membolehkan anak-anak menikmati masa di masjid tanpa rasa bosan.

“Kami tidak menerima sebarang maklum balas negatif. Semasa ibu bapa menunaikan solat, anak-anak mereka boleh bermain atau menemani ibu bapa mereka semasa solat. Apa yang kami cuba lakukan ialah menjadikan masjid lebih mesra kanak-kanak,” kata Mansur Sağır, muazzin masjid.

Beberapa tahun lalu, seorang imam di utara bandar Kocaeli di daerah BaÅŸiskele, Turkiye, berjaya menarik sejumlah besar kanak-kanak ke kelas al-Quran pada musim panas di masjidnya dengan menjadikannya lebih mesra kanak-kanak dengan mewujudkan taman permainan baharu.

Author

Pilihan Editor