HomeBeritaMyAirline bakal buka laluan penerbangan ke Indonesia, Singapura dan Thailand

MyAirline bakal buka laluan penerbangan ke Indonesia, Singapura dan Thailand

SEPANG: Syarikat penerbangan, MYAirline Sdn Bhd akan memulakan perkhidmatan di laluan antarabangsa mulai Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyAirline, Rayner Teo berkata, bagi permulaan, laluan antarabangsa itu akan melibatkan beberapa destinasi di rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Katanya, tiket bagi laluan antarabangsa MyAirline dijangka mula dijual bulan depan.

“Mudah-mudahan, kami boleh memulakan jualan tempahan tiket sama ada akhir bulan ini atau awal bulan depan.

“Kami ada masa yang mencukupi bagi memastikan semua pesawat sedia untuk terbang,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama para penghuni Rumah Bakti Nur Ain.

Majlis berbuka puasa itu berlangsung di Terminal Kuala Lumpur International Airport (KLIA), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Teo turut memaklumkan MyAirline menyasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya 20 pesawat yang beroperasi hingga akhir tahun ini.

“Pada masa ini, kami mempunyai enam pesawat yang beroperasi,” jelasnya.

Untuk rekod, MYAirline merupakan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu di Malaysia yang mula beroperasi sejak tahun lalu.

Author

Pilihan Editor