HomeBeritaMY#INFAQIHSAN santuni ibu tunggal, beri perhatian sama

MY#INFAQIHSAN santuni ibu tunggal, beri perhatian sama

CHERAS: Orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, pelajar tahfiz, warga emas dan golongan asnaf adalah golongan yang paling memerlukan perhatian dalam masyarakat.

Bagaimanapun, golongan yang paling memerlukan perhatian sebenarnya adalah ibu tunggal.

Ibu tunggal terpaksa menjaga anak kecil, atau OKU, atau orang sakit atau warga emas di rumah.

Ibu tunggal juga perlu bekerja menyara diri dan keluarga kecil.

Sebenarnya bukan sahaja ibu tunggal, tetapi bapa tunggal juga perlu diberi perhatian sama.

Justeru, program MY#INFAQIHSAN terus diperluas di bawah naungan Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal dan anak yatim yang juga asnaf, di Madrasah Ehsaniah, Taman Bukit Anggerik, di sini, baru-baru ini.

Pengasas MY#INFAQIHSAN, Datuk Rozzana Rahmat berkata, beliau amat memahami keperitan, kepayahan dan ujian dilalui ibu tunggal kerana beliau dilahirkan oleh ibunya yang juga seorang ibu tunggal dan melihat sendiri jatuh bangunnya.

“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua di luar sana, hulurkanlah bantuan, berilah perhatian daripada kejiranan.

“Saya rasa, kejiranan perlu prihatin jika ada jiran ibu tunggal. Kita bagi perhatian contoh anak mereka sakit kita beri bantuan hantar ke klinik atau hospital, atau bantu hantar anak mereka ke sekolah.

“Dalam Islam, kita digalakkan untuk beri bantuan kepada keluarga dan jiran,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyampaikan pek bantuan keperluan asas kepada 20 ibu tunggal dan anak yatim pertubuhan berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi, Rohana Wahab.

Rozzana menambah, program itu dianjurkan kerana berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan ibu tunggal berkenaan.

Sementara itu, Rohana berkata, pertemuannya dengan Rozzana memberi hikmah dalam hidupnya di saat dia sendiri masih mencari tujuan utama hidup.

“Pertemuan dengan Datuk (Rozzana) bermula dengan La Tahzan (jangan bersedih), usah dihirau pandangan manusia tapi pandangan Allah SWT lebih utama, kerana ketika itu saya tertanya kenapa saya diuji begini.

“Kehadiran Datuk memberi inspirasi kepada mereka yang mahu bangkit di luar sana,” katanya.

Author

Pilihan Editor