MELAKA: Gara-gara tidak puas hati bunyi hon motor dan dijerit ‘hoi’, seorang pemandu kereta, yang sedang menjalani pengawasan polis, bertindak mengacu pistol di kepala seorang penunggang motosikal di hadapan Melaka Mall, di sini, tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tindakan pemandu kereta Myvi berusia 28 tahun itu membawa padah apabila mangsa bekerja sebagai mekanik merampas senjata tersebut selepas bergelut dengan suspek.
Suspek cuba melarikan diri dengan kenderaannya namun berjaya ditangkap oleh mangsa berusia 24 tahun dengan bantuan orang awam dalam kejadian 12.15 tengah malam itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dari arah Ayer Keroh menghala ke arah bandar Melaka sedang meneruskan perjalanan apabila lampu hijau di lampu isyarat berhampiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa menunggang motosikal membunyikan hon kepadanya kerana membuat pusingan U dari arah bertentangan sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
“Mangsa sempat menekan brek dan mengelak daripada melanggar kereta suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek kemudian membunyikan hon dan menjerit ‘hoi’ ke arahnya sebelum suspek mengarahkan mangsa berhenti di tepi jalan di hadapan Melaka Mall.
Katanya, mangsa kemudian berhenti dan pergi ke arah suspek yang kemudian memarahinya sebaik keluar dari keretanya sebelum mencekak leher mangsa dari belakang serta mengacu pistol di kepalanya.
Katanya, berlaku pergelutan antara kedua-duanya sebelum mangsa berjaya merampas pistol berkenaan dan suspek cuba melarikan diri bersama kenderaannya sebelum dicekup.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selama dua tahun bermula 1 November 2021.
“Suspek juga perlu melapor diri sebulan sekali tetapi tidak dikenakan syarat had waktu ditetapkan untuk keluar dari Melaka.
“Sepucuk pistol angin berserta enam peluru dan satu bungkus lutsinar mengandungi manik plastik berwarna hijau turut dirampas bagi siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, suspek negatif dadah hasil ujian air kencing dan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 36(1)(a)Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol. – BERNAMA