HomeBeritaTidak adil bagi pihak dituduh jika prosedur salah - Pengamal undang-undang

Tidak adil bagi pihak dituduh jika prosedur salah – Pengamal undang-undang

KUALA LUMPUR: Jika sebarang prosedur kes di mahkamah dikendalikan secara salah, maka keputusan juga cenderung untuk tidak adil dan saksama bagi semua pihak.

Pengamal undang-undang, Datuk Mohd Zaidi Md Zain@Zakaria dari Tetuan Zaidi Zain Associates menjelaskan, prosedur kes perlu dikendalikan dengan betul sama ada untuk mensabit, menjatuhkan hukum atau melepaskan tertuduh.

“Ia (keputusan mahkamah) bukan soal betul atau salah. Soalnya, prosedur itu mesti betul.

“Kita nak sabitkan orang itu bersalah, prosedur itu mesti betul. Sama macam kita nak jatuhkan hukum orang bersalah, atau nak melepaskan seseorang tertuduh, prosedur mesti betul.

“Jadi, kalau salah dalam prosedur, maka salahlah semuanya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian tegas hakim paling kanan, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan majoriti semakan kehakiman kes SRC International Sdn Bhd (SRC International), di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Rahman adalah satu-satunya hakim yang memihak kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keputusan membabitkan panel lima hakim.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, keadilan bukan sahaja mengenai rasa bersalah atau tidak bersalah seseorang yang dituduh, beliau juga mesti mendapat perbicaraan yang adil.

Tertuduh juga mesti merasakan dirinya mendapat perbicaraan yang adil. Jika sistem itu tidak mampu, beliau tidak patut dibicarakan sama sekali.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Abdul Rahman itu, Mohd Zaidi yang juga peguam syarie berkata kenyataan dikeluarkan hakim berkenaan bersifat keras.

“Ia sebenarnya menyampaikan mesej besar kepada semua hakim.

“Sebab itulah, apa dilihat berdasarkan beliau (Abdul Rahman) yang juga hakim paling senior, adalah dapatan cukup memberangsangkan dan sepatutnya diambil pengajaran oleh semua hakim terlibat dan diambil tindakan serius oleh pihak berwajib terutama Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau juga berpandangan, kes SRC International boleh dibawa kepada Majlis Raja-Raja dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera bagi menyiasat ketidakadilan yang disebut oleh Ketua Hakim dalam kes berkenaan.

“Pasti akan ada pihak membawanya kepada Majlis Raja-Raja, supaya dipertimbangkan untuk mengadakan RCI atau pengampunan.

“Ini suatu perkara serius terhadap kelompongan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Ini soal memenjarakan orang, sudah tujuh bulan Datuk Seri Najib dalam penjara disebabkan sistem tidak adil, jadi sesuatu perlu dilakukan segera bagi memberi imej baik pada sistem keadilan negara.

“Ia bagi memastikan pelabur asing rasa selamat dan dijamin, untuk datang ke Malaysia dan melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Institut Koperasi Malaysa (IKMa) bersama Media di Hotel Sunway Putra, di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Ali Mansor; Timbalannya, Mohd Zaid Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan)nya, Hamidah Mohd Jos.

Author

Pilihan Editor