HomeBeritaWadi Annuar bakal dikenakan waran tangkap jika tak hadir ke JAIPs

Wadi Annuar bakal dikenakan waran tangkap jika tak hadir ke JAIPs

CYBERJAYA: Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.

Perkara itu berhubung siasatan penyertaannya pada program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, perubahan tarikh tersebut yang sepatutnya dilaksanakan pada 17 April lalu terpaksa diubah selepas Wadi Annuar sendiri memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan yang ditetapkan oleh JAIPs.

“JAIPs menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai dan pihak media berhubung sesi siasatan dengan Wadi Annuar yang sebelum ini dijadualkan pada 17 April lalu namun Wadi Annuar memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan yang dikemukakan kepada JAIPs.

“Kita menegaskan bahawa siasatan terhadap beliau akan tetap diteruskan pada 2 Mei bersamaan Selasa hadapan dan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya arahan ini tidak dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Wadi Annuar sudah beberapa kali diminta untuk hadir ke pejabat JAIPs di Kangar untuk diambil keterangannya mengenai program pada akhir bulan lalu yang dilakukan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Malah, satu laporan polis juga dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Wadi Annuar yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri ini.

Mufti Perlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Jabatan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini turut menegur pendakwah itu yang didakwa bagaikan mempersendakan peraturan serta titah oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai keperluan untuk mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada penguasa agama Islam di negeri itu sebelum memberikan ceramah mengenai agama Islam di setiap masjid atau surau di Perlis, lapor Berita Harian.

Author

Pilihan Editor