HomeBeritaYayasan Ihsan Rakyat salur sumbangan, bantu B40 buka akaun di Tabung Haji

Yayasan Ihsan Rakyat salur sumbangan, bantu B40 buka akaun di Tabung Haji

PUCHONG: Pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) menyalurkan sumbangan mereka kepada 800 pendeposit baharu untuk membuka akaun di Tabung Haji (TH).

Usaha itu dilakukan bagi mengalakkan lagi umat Islam menyimpan wang untuk kecemasan di Tabung Haji serta permulaan usaha untuk mengerjakan haji.

Ketua Pegawai Eksekutif YIR, Datuk Rozzana Rahmat berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan kepada golongan sasaran agar mereka dapat membuka akaun di TH dengan kadar minimum RM2 sahaja.

“Pada program ini, pihak YIR dan TH menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, susu, sirap, sardin, kepada kira-kira 100 orang yang betul-betul asnaf.

“Pada masa yang sama, kami galakkan mereka dan penduduk di sekeliling mereka untuk membuka akaun TH supaya mereka boleh menyimpan dengan niat untuk menunaikan haji nanti,” katanya kepada media.

Rozzana berkata demikian pada program Sumbangan Ihsan Ramadhan TH Wilayah Persekutuan bersama My#INFAQIHSAN di pekarangan Surau AsSyakirin, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini.

Turut hadir, Pengarah TH Wilayah Persekutuan, Ezham Leman.

Rozzana yang juga pengasas My#INFAQIHSAN itu berkata, pihaknya menyasarkan 800 pendeposit TH pada program itu dengan turut memberi sumbangan dana modal pembukaan akaun.

“Kita nak mereka ada kesedaran yang mereka perlu ada akaun TH, yang sudah berumur pun ada yang belum buka akaun.

“Tetapi selepas buka akaun, Allah akan buka jalan untuk niat membuka akaun ini,” katanya.

Untuk rekod, TH juga disifatkan sebagai instrumen pelaburan terbaik, selain modal paling minimum, ia juga tiada had simpanan dan pengeluaran.

Keuntungan tahunan TH juga akan dikongsi kepada pendeposit melalui pengagihan hadiah dalam bentuk dividen dan bonus.

Bagaimanapun, TH juga boleh dianggap instrumen simpanan terbaik untuk dana kecemasan, dana rizab atau simpanan perbelanjaan (duit yang disimpan untuk dibelanjakan seperti membeli barang atau pergi melancong).

Author

Pilihan Editor