HomeBerita15 sekolah di KL terjejas akibat ribut

15 sekolah di KL terjejas akibat ribut

KUALA LUMPUR: Warga sekolah yang terkesan akibat hujan lebat dan ribut di beberapa lokasi terutama di ibu negara, dinasihatkan untuk mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga pihak berkuasa berkaitan dapat memastikan ia selamat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menasihatkan pihak sekolah termasuk guru dan pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu.

Katanya, ia bagi membolehkan pihak JKR menjalankan semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan semua sekolah terlibat, dengan lebih teliti.

“Hujan lebat serta ribut yang melanda di beberapa kawasan terutama di ibu negara petang semalam agak teruk sehingga menyebabkan banyak kejadian tidak diingini termasuk kenderaan dihempap pokok tumbang, selain rumah dan sekolah mengalami kerosakan.

“Saya menerima laporan, sebanyak 15 sekolah di Kuala Lumpur turut terjejas akibat kejadian berkenaan. Antara lain, sekolah-sekolah terlibat mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang.

“Kementerian melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, pada Sabtu.

Sementara itu, katanya, kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit rumah di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu Kentonmen, di sini, disebabkan kejadian ribut berkenaan.

“Antara lain kerosakan yang dilaporkan adalah membabitkan bumbung dan awning yang tercabut diterbangkan angin kuat.

“JKR bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan sekolah yang terjejas akibat bencana itu.

Berikut adalah senarai sekolah terjejas akibat hujan lebat dan ribut;

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu

1) SMK Desa Perdana
2) SK Yaacob Latif
3) SK Salak South
4) SK Danau Perdana
5) SJKC Jalan Imbi
6) SK Cochrane
7) SMK (P) Methodist

PPD Keramat
8)SK Setapak
9) SK Kg Bharu
10) SMK Puteri Wilayah (Asrama)
11) SMK Seri Titiwangsa
12) SK Kementah
13) SMK Taman Melati

PPD Sentul
14) SMK Jinjang
15) SK Seri Nilam

Author

Pilihan Editor