HomeGlobalBekas bos catur antarabangsa dedah pertemuan dengan 'alien'

Bekas bos catur antarabangsa dedah pertemuan dengan ‘alien’

BEKAS ketua Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov, yang juga pernah berkhidmat sebagai presiden republik Kalmykia, Rusia mendakwa beliau diculik oleh makhluk asing pada 1990-an.

Ilyumzhinov memperincikan “pertemuan” dalam temu bual dengan laman web Sports.ru, yang diterbitkan pada Selasa.

“[Ia berlaku pada] September 1997, di Moscow. Mereka memanggil saya ke balkoni. Saya keluar dan tidak lama kemudian mendapati diri saya berada dalam kapal mereka. Ia berlaku dengan mudah,” dakwanya.

Makhluk asing itu berbentuk humanoid, “lebih tinggi sedikit daripada kita,” memakai sut kuning, menurut bekas bos FIDE itu.

Ilyumzhinov mendakwa beliau bercakap dengan penculiknya selama kira-kira lapan jam – tetapi hanya hilang dari apartmennya selama kira-kira satu jam.

Ilyumzhinov juga berkata, beliau bertanya kepada “alien” tersebut mengapa mereka tidak mendedahkan diri mereka kepada manusia, dan diberitahu penduduk Bumi belum mencapai standard mereka.

Saya bertanya mengapa mereka tidak mendedahkan diri, tidak beritahu semua orang tentang diri mereka. Satu daripada mereka menjawab: “Kamu tidak berkomunikasi dengan semut, kan? Tahap tamadun kamu belum matang lagi.”

Dalam temu bual itu, Ilyumzhinov turut menjelaskan mengapa beliau berdiam diri mengenai pengalaman itu selama lebih sedekad. Beliau pertama kali mendedahkannya kepada akhbar pada 2010, hanya apabila “disuruh” oleh “makhluk asing” untuk berbuat demikian.

“Sekarang memang menjadi trend untuk buat “kecoh”. Tetapi pada masa itu tidak ada perkara begini, dan saya sendiri sudah popular. Mengapa saya perlu rosakkan kemasyhuran saya? Saya hanya beritahu perkara sebenar, lebih-lebih lagi, mereka (makhluk asing) sendiri yang menyuruhnya,” katanya.

Bekas presiden Kalmykia itu menganggap bahawa mendedahkan kebenaran secara terbuka pada masa itu akan merosakkan imej awamnya, dan lebih-lebih lagi, tidak akan dihargai oleh presiden ketika itu, Boris Yeltsin.

Walau bagaimanapun, Ilyumzhinov menegaskan bahawa beliau secara peribadi telah memberitahu Yeltsin tentang pertemuan itu, tetapi presiden tidak percaya dan menyuruhnya “pergi buat kerja.”

Beliau juga menyatakan ada membincangkan perkara itu dengan beberapa ketua negara lain yang tidak dinyatakan, dan ada yang menjawab bahawa mereka juga pernah mengalami pertemuan seperti itu.

“Beberapa presiden negara memberitahu saya bahawa mereka mempunyai hubungan dengan makhluk asing. Mereka tidak bercakap mengenainya secara terbuka, kerana mereka takut mereka dianggap gila,” katanya.

Ilyumzhinov mengetuai Kalmykia dari 1993 hingga 2010, dan berkhidmat sebagai ketua FIDE selama lebih daripada dua dekad, dari 1995 hingga 2018. – RT

Author

Pilihan Editor