BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka nyaris maut selepas kereta Perodua Alza baharu yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di susur masuk di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an yang kedua-duanya dipercayai Orang Kurang Upaya (OKU) bisu itu bersama anak lelaki, 2, dan perempuan berumur tiga tahun dalam perjalanan dari Alma, dekat sini ke Relau.
Mereka sekeluarga sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kereta yang dinaiki terbakar dengan berhenti di tepi jalan dan keluar dari kenderaan terbabit.
Pegawai Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Shahrul Munawer Taharem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.24 petang memaklumkan kejadian itu.
“Apabila pihak bomba tiba di lokasi mendapati kereta itu sedang terbakar dan api marak manakala pemandu dan tiga penumpang telah berjaya menyelamatkan diri sebelum kami tiba di situ.
“Kami menjalankan kerja pengawalan dan pemadaman, api berjaya dipadam sepenuhnya pada 2.44 petang dan kereta itu terbakar lebih 95 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini. – BERNAMA