JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini memasuki hari kedua Operasi Carilamat kapal tangki MT Pablo yang dilaporkan terbakar semalam, dengan misi pencarian tiga orang kru kapal berkenaan yang masih hilang.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang juga Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tiga mangsa tersebut ialah Satyam Tripathi, 26, Dinesh Kumar Chauhan, 34, dan masing-masing merupakan warganegara India manakala seorang lagi mangsa, Sabit Shenderovsky, 37, warganegara Ukraine.
“Sebuah pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia bersama sembilan buah aset laut dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang dengan kekuatan seramai 136 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini.
“Sehingga waktu ini aset yang terlibat di dalam Op Carilamat ini sedang mempergiatkan usaha untuk mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR dibahagikan kepada empat sektor dan telah diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi dari tempat kejadian,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini 25 daripada 28 orang kru MT Pablo berjaya diselamatkan namun empat orang kru mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki.
Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan di sana.
Semalam, kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dengan jumlah 28 orang kru terdiri daripada warganegara India, Ukraine, Rusia dan Pakistan sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura sebelum terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada sekitar pukul 3 petang.