CYBERJAYA: Satu siasatan dalaman sedang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkaitan kes buli seorang pelatih di sebuah pusat latihan di Kuantan, Pahang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat bapa mangsa sebelum ini yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di pusat latihan berkenaan.
Jelasnya, pihak polis sudah membuat siasatan di kawasan pusat latihan terbabit secara menyeluruh mengikut dakwaan tersebut.
“Sebenarnya, TUDM tidak terima laporan berkaitan isu ini kerana bapa mangsa membuat laporan terus kepada pihak polis baru-baru ini.
“Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan dalaman berdasarkan laporan tersebut dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka, Kementerian Pertahanan dan Kem Kementah di Petaling Jaya.
Turut hadir bersama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera,Tan Sri Affendi Buang.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan memastikan kes buli berkenaan disiasat secara menyeluruh dan individu yang didapati bersalah melanggar tatatertib dan prosedur operasi standard bagi setiap anggota yang duduk di pusat latihan dikenakan tindakan sewajarnya.
Untuk rekod, tular satu perkongsian di media sosial mengenai kisah seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara dipercayai di Kuantan, Pahang.
Dalam perkongsian itu, wanita tersebut mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan dia trauma dan ketakutan.