HomeMV+PendapatMedia sosial sebagai nyawa, penentu semak imbang negara

Media sosial sebagai nyawa, penentu semak imbang negara

PERANAN media sosial yang lebih berani, telus dan sensasi tidak boleh dipandang rendah oleh media arus perdana yang kini berdepan cabaran kerana maklumat yang jauh ketinggalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mindshare, Sheila Shanmugam ketika melontarkan pendapatnya dalam sebuah forum sempena Hari Wartawanan Nasional (HAWANA) 2023 baru-baru ini, berpendapat media arus perdana semakin hilang kepentingannya dan keyakinan rakyat.

Sebaliknya, kerana keberanian laporan media sosial yang tumbuh bak cendawan sejak zaman gelap media arus perdana, kini Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), berbanding tangga ke-133 tahun sebelumnya.

Kita juga perlu ambil iktibar daripada penutupan Kumpulan Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 2019 kerana masalah kewangan, kemudiannya diambil alih syarikat Media Mulia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali Dilof).

Utusan Melayu menjual sebanyak 70 peratus kepentingan Dilof kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia).

Aurora Mulia dimiliki hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary yang dikatakan proksi kepada Tun Dr Mahathir Mohammad. Bagaimanapun Dilof bertukar nama kepada Media Mulia susulan penutupan Utusan Malaysia dan Kosmo!

Pada 2019, seramai 800 wartawan eksekutif dan bukan eksekutif kehilangan kerja 24 jam dan sehingga ke hari ini masih turun naik mahkamah menuntut pampasan serta tunggakan gaji oleh majikan terdahulu.

Penulis (Wan Noor Hayati Wan Alias) masih ingat bagaimana kereta rakan wartawan ditunda kerana tiga bulan gagal bayar ketika dia sedang menangis melihat bangunan Utusan yang terletak di Chan Sow Lin ditutup.

Penulis sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara ke Amerika Syarikat (AS) yang mengikuti Kursus Kewartawanan Penyiasataan (International Visitor Leadership Programme) tajaan negara kuasa dunia itu pada tahun 2018, melihat suasana berbeza di AS yang lebih bebas dan dilindungi undang-undang.

Peruntukan Perkara Pertama Perlembagaan AS yang diluluskan bagi melindungi kebebasan media di negara itu.

Tiada sesiapa yang boleh mencabar wartawan untuk disaman di mahkamah selagi mana ia laporan adil dan berfakta.

Mereka amat menggalakkan laporan penyiasatan kerana ia banyak membantu pihak berkuasa mereka menyelesaikan atau memberi petunjuk satu-satu kes.

Berbeza dengan media di Malaysia yang amat berhati-hati dan takut khususnya laporan penyiasatan dan pembongkaran yang mendedahkan wartawan kepada disaman sehingga kualiti penulisan hilang.

Apabila ada cadangan kerajaan untuk mewujudkan Majlis Media Malaysia (MMC), Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dan Malaysian Press Institute (MPI) mengesyorkan cadangan termasuk beberapa akta perlu dikaji semula agar tidak mengongkong, mengawal media.

Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi perlu diteliti dan dinilai semula selain beberapa isu penting membabitkan kebajikan, kebebasan dan hak petugas media yang perlu diketengahkan.

Dengan melihat semula akta-akta berkenaan, ia diyakini mampu mengekang pengaruh politik daripada mengawal media dalam membuat pelaporan berita.

Sebagai penutup, sumbangan media sosial kepada negara terlalu banyak di mana peranannya  sebagai nyawa dan penentu semak imbang negara.

Author

Pilihan Editor