HomeNiagaNasi Kukus Tonggek sasar pasaran antarabangsa

Nasi Kukus Tonggek sasar pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pemilik rangkaian restoran Nasi Kukus Tonggek (NKT Group M Sdn Bhd), mahu menembusi pasaran makanan di peringkat antarabangsa .

Pengarahnya, Muhammad Nur Aiman Basuni berkata, impian itu seiring dengan pemasaran produk Sambal Tonggek yang baharu dilancarkan pada hari pertama pembukaan cawangan baharu di Bukit Bintang, di sini, pada Khamis.

Slogan Nasi Kukus Tonggek, iaitu Make Nasi Kukus Great Again dan kini memiliki 28 cawangan seluruh Malaysia sejak beroperasi empat tahun lalu dan mahu dikenali lebih meluas.

“Semua ada impian untuk meluaskan pasaran ke luar negara. Jika ada peluang itu, kita tidak menolak.

“Hari ini, impian untuk membuka cawangan Nasi Kukus Tonggek yang betul-betul berada di lokasi tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar negara, iaitu di Bukit Bintang juga tercapai dengan bantuan Papa Jaafar Onn,” katanya yang sudah bekerjasama dengan selebriti veteran itu hampir setahun.

Beliau berkata demikian pada hari pembukaan cawangan Nasi Tonggek Kukus baharu, di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, di sini.

Turut hadir menemani iaitu isterinya, Siti Nabilah Mohamad Isa, selain kehadiran pelakon dan pengacara terkenal, Awal Ashaari menyokong usaha itu.

Pada program sama, NKT Group M Sdn Bhd turut melancarkan Sambal Tonggek, dengan wajah Papa Jaafar pada produk pembungkusan, dan boleh didapati di semua platform dalam talian buat masa ini.

Sambal Tonggek mudah dibawa ketika melancong ke mana-mana kerana pek kecil mesra poket, malah kandungan belacannya adalah ramuan khas yang hanya terdapat di kilang belacan Indonesia.

Justeru, Muhammad Nur Aiman berkata, dengan bantuan Papa Jaafar juga, Nasi Kukus Tonggek kini mempunyai jumlah mencecah 139,000 pengikut.

Sementara itu, Papa Jaafar berkata, dia sudi membantu pasangan anak muda itu berniaga di platform media sosial walaupun sudah bergelar usia emas.

“Baginya yang berpengalaman dalam seni rasa masakan, malah banyak melancong ke luar negara, beliau akui makanan Malaysia mempunyai rasa dan keunikan tersendiri kerana sentiasa menerima pandangan baik daripada orang luar.

“Kita ada cara kita menjual. Kita tolong Melayu sama Melayu tapi ikut saluran betul,” katanya yang akan berada di Lot 10 Bukit Bintang pada setiap Khamis, dan bersiaran di TikTok.

Author

Pilihan Editor