CYBERJAYA: Pendaki solo negara, T Ravichandran berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi dunia, Everest pada pada Rabu untuk kali yang keempat.
Kejayaan itu disahkan oleh isterinya, Leela Ramamurthy dalam satu kenyataan bagi menjelaskan keadaan Ravi berkaitan berita tular mengenai sembilan pendaki maut ketika menawan puncak Everest.
Menurutnya, Ravi diserang reput fros berulang ketika hampir sampai ke Lhotse, puncak gunung keempat tertinggi dunia.
“Untuk makluman rakyat Malaysia, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal dengan menaiki helikopter pada 18 Mei 2023, akibat kecederaan di jarinya, reput fros (frostbite) berulang kembali ketika hanya 200 meter untuk sampai ke puncak gunung keempat tertinggi dunia, Lhotse, yang berketinggian 8,516 meter.
“Beliau kini sedang menerima rawatan dan akan pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei 2023 (Ahad) jam 9 pagi (waktu Malaysia),” katanya.
Tambah Leela, suaminya akan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei ini jam 9 pagi.
Leela turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023).
Untuk rekod, dalam masa 24 jam sahaja pasukan Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 berjaya mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest.Â
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)