KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd, telah diberikan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menyampaikan writ saman kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui akhbar tempatan.
Peguamnya, Elyse Ng berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin membenarkan permohonan anak guamnya ketika pengurusan kes pada Jumaat lepas.
“Syarikat itu tidak dapat menyampaikan salinan writ saman dimeterai dan pernyataan tuntutan terhadap Mohamed Azmin secara peribadi sehingga kini walaupun banyak percubaan dibuat. Oleh itu, kami telah memohon kepada mahkamah pada 24 April, untuk menyerahkan kertas kausa ke atasnya melalui penyampaian ganti.
“Susulan itu, kami diarahkan oleh mahkamah supaya menyampaikan kertas kausa ke atasnya dengan menyiarkan notis itu di akhbar tempatan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 16 Mei,” kata peguam itu.
Penyampaian ganti penyerahan dokumen dalam litigasi awam adalah dalam bentuk surat, iklan yang disiarkan dalam akhbar dengan edaran nasional atau apa-apa kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian defendan kerana penyerahan dokumen secara peribadi tidak dapat dilakukan.
J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April lepas setelah mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Syarikat itu memfailkan saman tersebut melalui Law Chambers of Han & Zi di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 April lepas dengan menamakan Mohamed Azmin sebagai defendan tunggal.
Syarikat itu mendakwa defendan telah memfitnah syarikat dalam ceramah politik bertajuk “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman” di Taman Melewar, Gombak pada 11 Mac lepas, dan kata-katanya diterbitkan oleh media cetak dan elektronik, termasuk YouTube.
Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan tersebut, ia jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa sidang Parlimen pada 8 Mac lepas.
Menurut syarikat itu, dakwaan Mohamed Azmin adalah tidak benar kerana syarikat tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang rundingan langsung oleh kerajaan Malaysia.
Ia berkata tindakan Mohamed Azmin berniat jahat dan bertujuan untuk merosakkan imej dan reputasi plaintif serta untuk mendapatkan publisiti murahan untuk kepentingan politik.
Selain memohon injunksi untuk menghalang defendan atau mana-mana ejen atau pekerjanya daripada terus bercakap atau menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadap syarikat, ia juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA