JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga asing ditahan kerana kencing di tempat awam di dalam bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, lelaki berumur 48 dan 66 tahun itu masing-masing ditahan di bangunan berkenaan pada pukul 12.12 tengah malam dan 3.56 pagi, hari yang sama.
“Ibu Pejabat Polis Daerah JBS menerima laporan daripada anggota polis bantuan BSI berkaitan penahanan dua lelaki warga asing yang berkelakuan tidak senonoh iaitu kencing di tempat awam di dalam BSI.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit negatif daripada pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Sejak akhir-akhir ini, kes melibatkan warga asing kencing di tempat awam di CIQ BSI semakin kerap berlaku dan tular menerusi beberapa rakaman video dalam media sosial.
Sebelum ini, seorang wanita warga asing dipercayai membuang air kecil di belakang kaunter dan seorang lelaki warga emas ditahan kerana kencing di tempat mengambil wuduk di bangunan itu. – BERNAMA