HomeGaya HidupErti sebenar ‘Arafah’ perlu diketahui umat Islam

Erti sebenar ‘Arafah’ perlu diketahui umat Islam

 

CYBERJAYA: Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula 7 pagi waktu Arab Saudi, pada Isnin untuk ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji, 9 Zulhijjah.

Berkongsi tentang wukuf, suka diingatkan bahawa wukuf merupakan rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji.

Bagi mengetahui lebih mendalam arti kata ‘wukuf’ itu, MEDIA VARIASI bawakan khas buat pembaca perkongsian daripada seorang Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH), Hisham Al Haj.

“Alhamdulillah, jemaah haji sudah mula bergerak menuju ke Arafah untuk berwukuf. Wukuf adalah kemuncak haji.

Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH), Hisham Al Haj

“Hanya mereka yang dijemput oleh Allah SWT sahaja boleh berada di Arafah untuk berwukuf. Walaupun duit sudah cukup, badan sihat walafiat, surat tawaran pun sudah dapat, tetapi kalau Allah SWT tidak izinkan untuk seseorang itu datang ke Arafah untuk berwukuf, maka tiada siapa yang boleh menghalang kehendak-Nya.

“Ada jemaah yang sudah menerima tawaran haji, tetapi bila buat pemeriksaan doktor, kadar gula dalam darahnya agak tinggi, lalu tidak dibenarkan mengerjakan haji.

“Ada jemaah yang sudah siap untuk berangkat, kelengkapan semuanya sudah dimasukkan ke dalam beg bagasi, kain telekong dan jubah putih telah dibeli beberapa helai, daging serunding telah pun dibungkus, sambal ikan bilis juga telah dimasukkan dalam bekas sebagai bekalan di Tanah Suci tiba-tiba suaminya meninggal dunia beberapa hari sebelum berangkat, akhirnya terpaksa membatalkan pemergiannya ke Tanah Suci kerana berada dalam edah selama 4 bulan 10 hari,” ,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Tambah beliau, bermacam ujian yang mungkin dikirimkan Allah SWT kepada manusia dalam menuju ke Hari Arafah dan perkara sedemikian membuatkan manusia perlu sedar bahawa setiap yang berlaku itu adalah atas izin dari-Nya.

“Demikianlah Arafah. Yang menjemput jemaah datang berwukuf di sini bukannya Tabung Haji atau Tabung Haji Travel atau King Salman, tetapi yang menjemput jemaah datang berwukuf di Arafah ialah Allah SWT.

“Dulu mungkin di kalangan hambanya pernah sakit, terlantar di hospital sekian lama, lalu Allah sembuhkan penyakitnya dan hari ini telah kembali sehat seperti biasa, boleh ke sana ke mari dan akhirnya sampai di bumi Arafah, maka nikmat mana yang mahu didustakan ?

“Maka dengan sebab itu bila jemaah haji sampai di Arafah kenalah banyak-banyak bersyukur,” ungkapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya banyakkan beringat kepada tuhan dan mohon keampunan atas segala kekhilafan diri.

“Tanda hamba yang bersyukur, mereka akan menghabiskan masanya bersama Tuhan di bumi Arafah. Lupakan dahulu handphone, lupakan dahulu media sosial.

“Lupakan dahulu Tik Tok, lupakan dahulu perkara perkara yang melalaikan bila berada di bumi Arafah.  Kenang kembali dosa-dosa kita dengan Tuhan.

“Terlalu banyak kesalahan kita dengan Tuhan, demikian juga dengan manusia. Mintalah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Tuhan Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor