KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan lima projek pembangunan Kejiranan MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bagi memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua projek itu yang akan dibangunkan pada tahun ini memberi peluang kepada golongan M40 dan B40 serta golongan belia memiliki rumah dengan harga antara RM150,000 hingga RM200,000.
“Kesemua projek kediaman ini memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air serta turut disediakan satu tempat letak kereta dengan keluasan sekurang-kurangnya 700 kaki persegi,” katanya pada Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama pemilik rumah mampu milik WPKL di sini hari ini.
Lima projek yang akan dibangunkan itu melibatkan Residensi Prihatin MADANI, Residensi MADANI, Residensi Sejahtera MADANI, Rumah Majlis MADANI dan Rumah Ihsan MADANI.
Anwar berkata, pembangunan Residensi Prihatin MADANI disasarkan kepada golongan rakyat M40 yang berpendapatan seisi rumah RM7,000 sebulan ke bawah dan unit yang akan ditawarkan berkeluasan 800 kaki persegi dengan nilai jualan RM200,000 seunit.
Bagi pembangunan Residensi MADANI pula disasarkan kepada golongan rakyat B40 yang berpendapatan seisi rumah RM5,000 sebulan ke bawah dengan unit yang ditawarkan berkeluasan 750 kaki persegi dengan nilai jualan RM180,000 seunit.
Selain itu pembangunan Residensi Sejahtera MADANI disediakan bagi golongan bujang atau belia yang baru bekerja serta pasangan muda yang baru berkahwin.
“Perumahan ini disasarkan kepada mereka yang berusia di antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan seisi rumah RM4,000 sebulan, ditawarkan untuk membeli rumah berharga RM150,000 seunit dengan keluasan 700 kaki persegi,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan tetap menyediakan perumahan untuk tujuan sewaan bagi kumpulan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah untuk didiami.
“Terdapat dua skim yang diperkenalkan iaitu Rumah Majlis MADANI yang disasarkan kepada golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah melalui kadar sewa RM600 sebulan untuk lima tahun.
Manakala Rumah Ihsan MADANI pula disasarkan kepada B40 dan rentan miskin di ibu kota dengan kadar sewa RM300 sebulan,” katanya. – BERNAMA