PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini gagal dalam usaha mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuahnya membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun sebulat suara menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman atas alasan tiada merit dalam rayuan itu.
Hakim See yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding secara dalam talian, menolak rayuan Rosmah dengan kos RM10,000.
Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak memberi kebenaran kepada Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya.
Rosmah, 71, yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.
Hakim See berkata, panel hakim bersetuju bahawa permohonan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di luar masa, kerana permohonan itu sepatutnya difailkan dalam tempoh tiga bulan dari fiat (surat kebenaran) pertama kali dilihat.
Beliau berkata, perayu (Rosmah) sepatutnya memfailkan permohonan itu dalam tempoh bermulanya tarikh fiat pertama kali dilihatnya dan seperti yang didakwanya sebagai tidak sah, sekali gus menyebabkan pelantikan Sri Ram salah di sisi undang-undang serta perbicaraan kes hibrid solar itu terbatal dan tidak sah.
“Semakan kehakiman, yang diberi mandat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh (penglihatan pertama) dan kami mendapati perayu sudah di luar masa berkenaan,” katanya.
Hakim juga berkata, tidak ada alasan kukuh bagi mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memberikan lanjutan masa bagi memfailkan semakan kehakiman.
Aturan 53 kaedah 3(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa permohonan untuk semakan kehakiman hendaklah dibuat dengan segera dan dalam apa jua keadaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh alasan bagi permohonan itu timbul atau apabila keputusan itu mula-mula dimaklumkan.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Rosmah memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang.
Selain itu, beliau memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Pada 1 September lepas, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Beliau kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman terhadapnya dan Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari, dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu.
Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu pemberita bahawa mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan.
Rosmah turut diwakili peguam Datuk Jagjit Singh manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak responden. – BERNAMA