KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi, namun akan memperkenalkan mekanisma subsidi bersasar selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap sepenuhnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah untuk menaikkan harga barangan keperluan itu belum sesuai untuk dilaksanakan berikutan rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
“…kerajaan akan memulakan inisiatif pemberian subsidi secara bersasar kepada rakyat kerana kerajaan banyak berbelanja untuk subsidi minyak masak peket dan minyak petrol RON95 misalnya dan barang subsidi lain.
“Namun, buat masa ini kerajaan masih mengekalkan subsidi ini demi rakyat. Apabila ekonomi telah pulih, kita wujudkan kembali ekosistem yang sempurna dan juga subsidi disasarkan (kepada mereka yang layak) seterusnya kita dapat membuat penjimatan dari segi perbelanjaan negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi sebagai langkah mengurangkan ketirisan selain membantu peniaga kecil serta menggalakkan persaingan sihat antara pengeluar barang keperluan itu.
Menjawab soalan asal Azli berhubung permintaan tinggi terhadap minyak masak terpakai untuk dijadikan sebagai bahan bakar biobahan api, Salahuddin berkata, ia berpotensi menjadi sumber ekonomi khususnya kepada suri rumah dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya kementerian itu telah mengadakan perbincangan awal dengan syarikat petroleum Petronas yang boleh berperanan sebagai agensi kerajaan untuk membawa industri itu menjadi ekonomi skala yang membantu menambah pendapatan negara dan golongan terlibat.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Salahuddin berkata Kementerian Peladangan dan Komoditi bertanggungjawab dalam mengeluarkan lesen kepada syarikat pengumpulan minyak masak terpakai.
“Sehingga kini tiada kes besar yang dibawa ke mahkamah melibatkan aktiviti pemprosesan semula minyak masak terpakai dan dijual pada harga murah,” katanya.
Tuan Ibrahim sebelum itu bertanyakan tentang kawalan terhadap syarikat berlesen untuk mengumpul minyak masak terpakai berikutan terdapat dakwaan ada syarikat yang pengumpul dan mencampurkan bahan itu daripada kedai makan tidak halal seterusnya menjual semula dengan harga murah. – BERNAMA