HomeBeritaAjaran SiHulk sesat, menyeleweng - Menteri Agama

Ajaran SiHulk sesat, menyeleweng – Menteri Agama

CYBERJAYA: Ajaran dan fahaman SiHulk adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020.

Justeru, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran itu.

Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung ajaran itu untuk segera tampil membuat laporan kepada PRDM, SKMM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa JAIN.

“Pihak JAKIM telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terbaharu, tular video menunjukkan sebuah keluarga yang dipercayai pengikut ajaran sesat itu membuat pengakuan, dengan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan.

Kesemua daripada mereka memperkenalkan diri masing-masing, sebelum membuat pengakuan bahawa perkara yang mereka katakan adalah benar.

Mengulas lanjut, Mohd Naim berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kewujudan dua video memaparkan sekumpulan individu menyokong ajaran SiHulk.

Namun, beliau berkata, akaun Facebook Nurul Sakinah yang memuat naik video berkenaan tidak lagi dapat diakses sejak Khamis.

Antara yang turut dikesan memuat naik video tersebut adalah Facebook yang menggunakan nama Iffat Muhammad.

“Umat Islam dinasihati untuk tidak terlibat dan menjauhi penyebaran ajaran sesat tersebut.

“Mana-mana individu didapati terbabit dalam kesalahan berkaitan dengan kesucian Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri,” tambahnya.

Modus operandi ajaran SiHulk, antara lain menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan selain mempromosikan fahaman songsang di media sosial.

Selain itu, ajaran itu melakukan penyelewengan dengan menyatakan Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

Ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini Muhammad itu kini dipercayai berada di New Zealand namun, masih giat mempromosikan dakyah kumpulan berkenaan.

Author

Pilihan Editor