HomeGlobalAktivis alam sekitar simbah cat, lekatkan diri pada jet peribadi di Ibiza...

Aktivis alam sekitar simbah cat, lekatkan diri pada jet peribadi di Ibiza Sepanyol

AKTIVIS alam sekitar merosakkan jet peribadi yang diletakkan di lapangan terbang Ibiza di Sepanyol pada Jumaat, dengan seorang daripada mereka melekatkan dirinya pada pesawat itu.

Semasa melakukan kerosakan itu yang termasuk menyimbah cat ke arah jet itu, para aktivis membentangkan papan tanda bertulis: “Kemewahan anda = krisis iklim kami.”

Selepas kejadian itu, polis Sepanyol menahan empat aktivis terbabit. Tiga daripada kumpulan Futuro Vegetal dan satu lagi daripada Extinction Rebellion Ibiza. Mereka ditahan selama sembilan jam sebelum dibebaskan pada petang Jumaat, menurut Futuro Vegetal.

Protes itu tidak mengganggu sebarang penerbangan di Lapangan Terbang Ibiza, menurut pengendali lapangan terbang Sepanyol Aena.

Aktivis dari Futuro Vegetal berkata, mereka membantah kerana seminggu menjelang pilihan raya umum, tiada parti politik Sepanyol menawarkan pakej langkah untuk mengurangkan krisis iklim.

“Adalah tugas masyarakat, tidak kira siapa yang mentadbir, untuk mengurangkan kesan krisis iklim… Industri mewah menggunakan dan mencemarkan sumber bersama dan semua kehidupan yang mendiami planet ini,” tulis Futuro Vegetal di Twitter. “Orang kaya adalah kemewahan yang kita tidak mampu.”

Futuro Vegetal menjadi salah satu kumpulan alam sekitar berprofil tertinggi di Sepanyol, menggunakan paparan vandalisma dramatik untuk menarik perhatian kepada krisis iklim dan kebajikan haiwan.

Pada bulan Jun, kumpulan itu mengambil kredit untuk menyimbah sebuah McDonald’s di Murcia dengan cat untuk membantah pertanian intensif.

November lalu, dua daripada ahli kumpulan itu melekatkan diri mereka pada bingkai lukisan Goya yang terkenal di Muzium Prado supaya tindakan diambil untuk memenuhi sasaran iklim Paris.

Minggu ini, Sepanyol mengalami gelombang haba yang dramatik, dengan suhu mencecah melebihi 40 C di sebahagian besar negara.

Di peringkat global, permulaan bulan Julai menyaksikan minggu paling panas dalam rekod, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia.

Author

Pilihan Editor