HomeBeritaMahkamah & JenayahDadah RM14.4 juta dirampas dalam bungkusan sabun pencuci pakaian

Dadah RM14.4 juta dirampas dalam bungkusan sabun pencuci pakaian

KUALA LUMPUR: Taktik sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan pelbagai jenis dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian tumpas selepas tertangkapnya tiga lelaki hasil serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah melancarkan empat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Klang pada jam 1.40 pagi Khamis lalu.

Hasil serbuan, JSJN telah merampas dadah bernilai RM14.4 juta serta menahan tiga lelaki berusia 32 hingga 61 tahun dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah pasaran tempatan.

“Dadah yang dirampas itu terdiri daripada methaphetamin seberat 56 kilogram (kg), ketamin 20 kg dan ekstasi 154.3 kg.

“Sindiket ini aktif sejak awal tahun ini di mana bekalan dadah yang dirampas itu masih dalam siasatan namun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan jalan darat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK), di sini, hari.

Mohd Kamaruddin berkata, operasi sindiket dengan menjadikan kediaman dan rumah kedai sebagai tempat menyimpan dadah sebelum dipasarkan.

“JSJN turut menyita aset sindiket bernilai RM389,166 terdiri daripada empat kenderaan iaitu BMW, Lexus, Perodua Bezza dan Toyota Vios bersama barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM14.77 juta.

“Siasatan juga mendapati sindiket memasukkan dadah dalam bungkusan sabun pencuci pakaian 5kg bagi mengaburi mata kurier sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya. Saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah dan semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek termasuk koordinator, pembekal dan penjaga stor direman seminggu bermula 14 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengikut Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988.

“Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga sedang mengesan saki-baki sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222.

Author

Pilihan Editor